Ekonomi merudum, tetapi kerajaan gagal tunai janji

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara yang merudum berdasar data-data dikeluarkan bermakna kerajaan ketika ini gagal menunaikan janji dibuat ketika sebelum ini, demikian bidas Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh).

Beliau memberi peringatan kepada Perdana Menteri (PH-Tambun) bahawa tidak ada satu janji pun yang ditunaikan pemimpin itu dan menegaskan betapa berbohong kepada rakyat akan membawa akibat buruk.

- Advertisement -

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berpesan dengan Hadis Imam al-Bukhari mengenai tiga sifat munafik iaitu apabila berbicara ia dusta; apabila berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah ia khianati.

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

“Sekarang ini rakyat sedang berdepan dengan situasi ekonomi yang amat mencabar dan masalah kos sara hidup yang semakin meruncing.

“Setelah setahun lima bulan, kerajaan mentadbirkan negara, kita lihat banyak data-data ekonomi bukan semakin bertambah baik tapi semakin merudum,” kesali Muhyiddin.

Misalnya menurut beliau, kejatuhan nilai Ringgit yang telah banyak diperkatakan oleh ahli dewan tersebut dalam soalan dikemukakan serta perbahasan mereka.

“Soalnya mengapa nilai Ringgit kita semakin merudum? Ya, saya tidak nafikan antara sebabnya ialah tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedahnya. Jadi nilai Ringgit jatuh berbanding Dollar. RM4.80 kepada USD1.

“Ini disebutkan yang paling rendah dalam tempoh lebih 26 tahun. Tetapi nilai Ringgit jatuh bukan sahaja berbanding Dolar Amerika Syarikat. Sejak bulan Julai 2023 nilai Ringgit menyusut 4.6 peratus berbanding Thailand.

“(Juga) 3.73 peratus berbanding Vietnam, 3.37 peratus berbanding Indonesia dan 2.26 peratus berbanding Filipina,” tambah beliau.

Selain itu ujar beliau, Bank Negara Malaysia melaporkan rizab negara pada bulan Januari 2024 adalah sekitar RM114.8 bilion dan jumlah ini mencukupi untuk menampung import kurang tiga ke enam bulan.

“Pada masa yang sama, kos import negara kita semakin meningkat disebabkan nilai Ringgit yang menyusut. Lebih memburukkan keadaan data juga menunjukkan jumlah deposit mata wang asing di negara kita semakin meningkat.

“Sehingga bulan Julai 2023 deposit mata wang asing dalam sistem perbankan di negara kita berjumlah RM250 bilion. Iaitu tertinggi dalam sejarah. Pada waktu wabak COVID-19 pun jumlahnya hanya sekitar RM150 bilion.

“Apa maknanya ini? Maknanya rakyat Malaysia sendiri pun tidak yakin kepada Ringgit Malaysia. Mereka tidak mahu simpan Ringgit kerana bimbang nilainya akan terus menurun. Jadi mereka memilih untuk menyimpan dalam mata wang asing,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -