
KUALA TERENGGANU: Susulan banjir yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu, seluruh kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengalami gangguan operasi kutipan sisa pepejal.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata kebanyakan Tapak Pembuangan Sisa Pepejal (TPS) di Sungai Ikan, Kuala Nerus dilanda banjir sejak 24 Disember lepas.
Katanya, buat masa sekarang kerja-kerja pelupusan sisa pepejal harian bagi seluruh kawasan operasi MBKT dilaksanakan di TPS Teratak Batu, Marang.
“Keadaan ini menyebabkan kerja-kerja kutipan sisa pepejal di seluruh kawasan MBKT akan mengalami kelewatan dan berlaku lambakan sampah di pusat-pusat kutipan,” katanya pada kenyataan di sini.
Bagaimanapun Rosli berkata, MBKT akan terus berusaha untuk memastikan tahap kebersihan dapat diuruskan dengan sebaiknya.
MBKT juga, katanya, memohon kerjasama semua penduduk agar menguruskan sisa pepejal dengan baik dan menjaga kebersihan di kawasan masing-masing.
“Pihak kami memohon maaf atas kesulitan ini dan berharap semua penduduk dapat bersabar terhadap apa yang berlaku sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/12/2023











