
KUALA TERENGGANU: Ibu bapa diingat sentiasa mengawasi anak-anak ketika musim banjir sekarang mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, pengawasan ibu bapa penting bagi mengelakkan berulang kejadian kanak-kanak hilang ketika bermain banjir di Kampung Tok Hakim, Padang Midin.
“Saya difahamkan dua daripada tiga kanak-kanak dikatakan hilang ketika bermain air banjir di mana dua berjaya diselamatkan.
“Manakala seorang lagi masih dalam operasi mencari dan menyelamat. Budak terbabit darjah lima, anggota Bomba dan Penyelamat masih lagi mencari,” katanya dalam satu hantaran video di Facebooknya semalam.
Sebelum itu beliau melawat lokasi kejadian kanak-kanak hilang ketika bermain banjir.
Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap orang ramai memanjatkan doa kepada Allah SWT bagi menemui mangsa berkenaan dalam keadaan selamat.
“Saya berpesan kepada ibu bapa supaya tengok anak masing-masing, jangan biar bermain banjir. Bila main air mereka seronok kadang-kadang tidak sedar bahaya menanti.
“Jadi mesti ada pengawasan orang dewasa, ibu bapa, kalau boleh tidak payahlah mereka bermain air. Bahaya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/12/2023











