Penduduk pindah segera selepas tahu benteng pecah

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Sebahagian besar penduduk daripada 430 keluarga di beberapa kampung mengambil keputusan berpindah selepas mengetahui benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok pecah.

- Advertisement -

Penghulu Mukim Siram Zamri Yahya berkata, antaranya Kampung Siram, Kampung Banggol Kong, Chenerai, Sapi, Kampung Jeram Perdah, Bukit Lata, Kampung Teraji dan Kampung Kelawar.

Katanya, penduduk di kampung terbabit bersiap sedia untuk berpindah sebaik sahaja mengetahui benteng pembinaan mulai pecah Selasa lepas.

“Dan keadaan air naik dengan begitu cepat dan mendadak selepas benteng Sungai Golok pecah. Mereka bimbang keselamatan keluarga dan mengambil keputusan segera berpindah ke PPS.

“Malah, kebanyakan kampung juga tiada bekalan air dan elektrik sejak dua hari lepas. Ia lebih menyukarkan kami untuk menjalani rutin harian,” katanya ketika ditemui semalam.

Zamri dan pasukan penyelamat meronda di kawasan terbabit bagi membantu penduduk berpindah menggunakan bot ke PPS.

Menurutnya juga beliau bersama beberapa petugas mengambil inisiatif membantu membawa keluar penduduk terutama mereka yang tidak mempunyai bot untuk ke PPS.

Selasa lepas benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok di Kampung Lanchang pecah akibat arus deras. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

- Advertisement -