
KOTA BHARU: Cuaca di Kelantan kembali redup dengan hujan mencurah-curah sejak awal pagi tadi sehingga sekarang.
Berbeza berbanding sebelum ini di mana hujan hanya sekali sekala lebat dan kemudian berhenti. Namun, mulai hari ini hujan berterusan sejak Subuh.
Sinar matahari langsung tidak kelihatan di sebahagian besar lokasi di Kelantan hari ini.
Malah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pada laporan yang dikeluarkan jam 1.30 petang tadi memberitahu penumpuan angin dijangka berlaku di timur dan selatan Semenanjung sehingga Jumaat ini.
Katanya keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan tersebut.
“MET Malaysia mengemas kini amaran hujan berterusan melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa sehingga 14 Disember ini.
“Manakala di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam,” katanya.
Oleh itu MET Malaysia menasihatkan orang ramai sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia bagi maklumat yang terkini dan sahih. – HARAKAHDAILY 13/12/2023











