
KUALA TERENGGANU: Biarpun Terengganu FC (TFC) tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2023, namun ia tidak menghalang kedua-dua pasukan berkongsi pengalaman.
Pada perlawanan penuh mendebarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini TFC tewas 1-3 kepada pasukan harimau selatan.
Bagaimanapun TFC berusaha untuk bangkit walau dalam serba kekurangan dengan mencontohi JDT.
Anggota Exco kerajaan negeri Hishamuddin Abdul Karim berkata, pasukan JDT yang serba lengkap menjadi model buat pasukan bola sepak lain di tanah air.
Katanya TFC juga akan menjadikan JDT sebagai model untuk bangkit semula pada musim akan datang.
“Saat bersaing di padang TFC pasti memberi saingan yang paling hangat menentang JDT.
“Namun di luar padang, TFC tetap memburu bimbingan daripada pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor untuk terus memperkasakan pasukan.
“Baginda sentiasa bersikap terbuka dan sangat berbesar hati untuk melihat pasukan TFC menjadi pasukan yang perlu digilap pada masa depan dalam kancah bola sepak negara,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Menurutnya TFC sedar dengan keadaan semasa, sentiasa mengukur baju di badan sendiri dengan memperkasakan bakat-bakat baharu.
Kata beliau juga musim depan dianggap sangat mencabar dalam aspek kewangan kelab.
“TFC akan berusaha berbelanja dengan sederhana. Terima kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim di atas perkenan menerima rombongan patik tempoh hari.
“Juga atas pandangan dan saranan untuk mengangkat industri bola sepak di tanah air,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/12/2023











