MB baharu perkenal Penghayatan MBI selaras peredaran zaman

Dato' Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud meneruskan legasi Membangun Bersama Islam (MBI) dengan mewajah semula MBI dan Merakyat MBI dengan memperkenalkan Penghayatan MBI (PMBI) menggunakan pendekatan baharu disesuaikan mengikut zaman berbeza.

- Advertisement -

Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri Mohd Asri Mat Daud berkata, PMBI suatu pendekatan interaktif melalui lapan arahan kerja serta melibatkan 19 kuasa penggerak.

Katanya ia dirangkumkan dalam empat kelompok faktor iaitu kepimpinan, pengurusan sumber, pengurusan alam sekitar lestari dan teknologi serta pengurusan strategi.

“Dokumen induk Penghayatan Membangun Bersama Islam dilancarkan di majlis apresiasi 100 hari pentadbiran kerajaan negeri pada 7 Disember lepas oleh Menteri Besar.

“Ia sebagai suatu langkahan melestari legasi Membangun Bersama Islam yang sekian lama bertapak di Kelantan bermula tahun 1990,” katanya pada kenyataan hari ini.

Kelantan memulakan langkah pentadbiran dengan dasar Membangun Bersama Islam. Selama tempoh 23 tahun dasar itu berdiri melalui proses pembinaan teras utama di bawah pentadbiran Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Legasi tersebut diteruskan lagi melalui pendekatan Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI) di bawah pentadbiran Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob bermula 2013 sehingga 2023.

Fasa mandiri sebagai era pelaksanaan melalui tonggak 3K iaitu Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan berpandukan Pelan Strategik Kelantan Melangkah Kehadapan (KMK) serta prinsip Pengurusan Ihtirafi dan Strategi Lautan Hijau. Fasa yang mengangkat nilai implimentasi menyeluruh kepada rakyat.

Mohd Asri juga berkata, selari dengan itu PMBI dilengkapi instrumen KPI melalui penerapan pemetaan Maqasid Syariah dalam elemen kuasa penggerak dasarnya iaitu menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

Katanya kelima-lima instrumen itu berkait antara satu sama lain secara berfokus iaitu;

i. Menjaga Agama

  • Indikator instrumen ini sebahagiannya melibatkan upaya memimpin dengan akhlak tinggi, berintegriti, politik bersih dan amanah dalam segala dasar, tadbir urus, program dan aktiviti.

Menjaga nyawa

  • Instrumen kedua memberikan alternatif kepada pimpinan dan rakyat melalui implimentasi ilmu moden dan sesuai zaman terutama melibatkan Teknologi Kecerdasan Pembuatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) di samping ilmu-ilmu melibatkan sensitiviti akal terhadap sekeliling (common sense) sebagai wasilah menjaga kehidupan.

Menjaga keturunan

  • Melalui diksi ini maqasid yang dimaksudkan dalam aspek menjaga kelestarian sebuah legasi pelapis iaitu anak muda yang perlu diurus sesuai dengan zaman dan mempersiapkan mereka dengan masa hadapan gemilang.

Menjaga akal

  • Indikator ini secara pentadbirannya perlukan penghayatan melalui pendidikan rakyat agar tidak terjerumus ke kancah gejala sosial dan kebejatan akhlak. Negeri dapat ditadbir secara harmoni melalui sokongan rakyat yang sihat jasmani, rohani dan emosi.

Menjaga harta

  • Penjanaan peluang ekonomi, menjarakkan jurang pendapatan dan menaikkan tahap sosio-ekonomi rakyat agar beroleh peluang yang sama rata untuk hidup sejahtera.

Ia juga diterjemahkan sebagai peluang rakyat untuk mengeluarkan produk dan perkhidmatan terbaik untuk negeri dan negara dalam semua lapangan hidup.

PMBI juga meletakkan fasa-fasa pelaksanaan sebagai panduan sebagaimana berikut:

i. Fasa Pemacu Strategi

  • Melibatkan kelompok kepimpinan dan pentadbiran.

ii. Fasa Kemampanan Strategi

  • Melibatkan kelestarian sumber manusia, sumber asli dan teknologi.

iii. Fasa Peneguh Visi

  • Melibatkan kelompok pengurusan strategik melalui elemen-elemen yang sedia ada sebagai indikator pencapaian visi Kelantan Sejahtera 2033.

iv. Fasa Keberhasilan

  • Fasa ini adalah natijah kepada PMBI iaitu sokongan dan kebersamaan rakyat secara signifikan dengan usaha-usaha Kerajaan.

PMBI adalah langkah kelestarian mewajah sebuah legasi MBI dan MMBI dengan suatu penegasan kesungguhan dan iltizam meletakkan Islam di hadapan dalam apa jua situasi dan zaman. – HARAKAHDAILY 9/12/2023

- Advertisement -