
KUALA KEDAH: Isu premis perniagaan di Kuala Sungai dirobohkan tidak wajar dijadikan modal politik untuk memburukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Salah seorang peniaga yang terlibat, Sarifuddin Hamid berkata, orang ramai perlu mengetahui kedudukan sebenar sebelum mempercayai provokasi yang cuba digembar-gemburkan oleh pihak tertentu.
“Sebenarnya notis keluarkan premis telah dibuat hampir dua tahun lalu oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
“Perobohan premis perniagaan itu adalah untuk membesarkan jalan di bawah projek kerajaan persekutuan,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini.
Katanya lagi, premis atau bangunan perniagaan termasuk surau di kawasan terbabit adalah milik MBAS sejak 20 tahun lalu dan para peniaga hanya menyewa bayaran RM5 sehari.
Dalam pada itu, MBAS ujarnya telah menyediakan tapak ganti di Mergong namun tidak dipersetujui para peniaga kerana lokasinya agak jauh dari penginapan masing-masing.
Justeru tambah beliau, MBAS menyarankan agar para peniaga mencari tapak sendiri yang sesuai untuk dijadikan kawasan ganti.
“Kami dah cari dan dah dapat. Lokasi itu tidaklah jauh dari tapak asal. Cuma sekarang ini urusan dengan tuan tanah belum selesai.
“Kami peniaga sebenarnya tidak bersetuju apabila ada pihak cuba ‘menangguk di air keruh’ dan cuba mengheret Menteri Besar dalam isu ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak, juga berpandangan yang sama.
Katanya, proses pengambilan balik premis perniagaan itu berjalan lancar dan para peniaga bersetuju dan tiada sebarang bantahan.
Namun tegasnya, apabila perobohan gerai itu melibatkan peniaga tertentu, isu berkenaan cuba diperbesarkan dan nama Menteri Besar cuba dikaitkan.
“Projek pembesaran jalan oleh kerajaan persekutuan tu lama dah. Tiga tahun lalu lagi dah dimaklumkan. Malah notis arahan keluarkan pun dah lama. Peniaga cuma minta tapak baru. MBAS sedia tapak di Mergong tapi mungkin kerana jauh, peniaga tidak bersetuju,” maklumnya.
Sebelum ini sebanyak 19 gerai disediakan oleh MBAS khususnya kepada peniaga sayur, ikan, daging, ayam dan lain-lain di kawasan terbabit.
Gerai berkenaan disewa oleh agensi terbabit dengan bayaran bermula RM2 sehari pada peringkat awal hingga sekarang dinaikkan kepada RM5. – HARAKAHDAILY 25/11/2023











