
KANGAR: PASTI kekal releven sehingga kini sungguhpun pelbagai pihak ‘menyerang’ institusi itu malah turut menjadi pilihan bukan Islam.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, waris tetap menjadikan PASTI sebagai pilihan utama mereka walaupun mengetahui institusi itu berada di bawah pentadbiran PAS.
“Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Sarawak antara negeri yang mempunyai pelajar bukan Islam lebih kurang antara 10 hingga 20 orang.
“Ini menunjukkan PASTI tetap menjadi pilihan waris untuk menghantar anak mereka walaupun mereka tahu kita di bawah PAS,” katanya ketika ditemui media selepas program Alam Ria PASTI Malaysia 2023 di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, sehingga kini PASTI mempunyai 139,000 pelajar di seluruh Malaysia dengan 2,680 premis dan jumlah guru seramai 9,002 orang.
“Dalam masa dua tahun lagi insya-Allah kita boleh capai sehingga 200,000 pelajar.
“Bayaran yuran kita antara yang terendah berbanding premis lain di samping keihklasan para guru mendidik anak-anak walaupun elaun yang mereka terima tidak setimpal dengan sumbangan yang diberi.
“Keikhlasan mereka inilah yang menyebabkan PASTI menjadi pilihan ibu bapa,” katanya lagi.
PASTI Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan Alam Ria PASTI Malaysia 2023.
Katanya lagi, silibus institusi tersebut juga selaras dengan arus perdana.
“Silibus kita selari dengan arus perdana dan yang menggubal terdiri dari ahli akademik.
“Malah ada juga waris dari parti politik yang lain menghantar anak mereka ke tempat kita,” ujarnya lagi. – HARAKADAILY 25/11/2023











