
KUALA LUMPUR: Projek ternakan ayam pedaging sistem tertutup di Padang Terap disenaraikan di bawah program pembangunan Rolling Plan 4 2024, RMK-12.
Menurut Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, projek itu dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025 di atas kawasan seluas 10.12 hektar.
“Jangkaan kapasiti projek ini adalah 250,000 ekor ayam bagi satu pusingan dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM30 juta,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Nurul Amin Hamid [PN-Padang Terap].
Nurul Amin dalam soalannya meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan status terkini pelaksanaan projek Ternakan Ayam Pedaging Sistem Bertutup oleh Felcra yang bernilai RM20 juta di Kampung Kubang Palas, Padang Terap yang sepatutnya dijadualkan pada Oktober 2023.
Namun begitu, ujarnya Felcra telah memulakan kerja-kerja awalan iaitu menyedia dan menyiapkan dokumentasi kerja-kerja awalan bagi mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa kerajaan negeri.
Di samping itu, katanya menyedia dan menyiapkan dokumentasi perjanjian pelaksanaan projek berkenaan dengan pihak berkuasa kerajaan negeri yang dijangka akan ditandatangani pada 30 Oktober 2023.
Selain itu, menyiapkan kerja-kerja pengukuran sempadan projek berkenaan pada 13 Februari 2023 dan pelan ukur kawasan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan penyerahan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 16/11/2023




















