
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan perlu memperjelaskan larangan melaungkan takbir dan membaca Qunut Nazillah dalam program Minggu Solidariti Palestin di sekolah.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kedua-dua amalan itu tidak menimbulkan sebarang masalah, malah difahami golongan bukan Islam.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, perhimpunan solidariti Palestin di luar negara yang dihadiri ratusan ribu peserta daripada pelbagai bangsa dan agama juga tidak menimbulkan sebarang isu apabila takbir dilaungkan oleh peserta Islam.
“Kalau kita lihat dan hendak tengok, ini merupakan satu isu yang sensitif, benda itu sudah dapat diterima oleh orang bukan Islam di negara kita. Ini merupakan satu lafaz yang biasa kepada orang Islam di Malaysia yang mengungkapkan kalimah itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Antara yang hadir termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Ustaz Idris melahirkan perasaan terkejut apabila ada surat pekeliling yang melarang laungan takbir dan bacaan Qunut Nazillah dalam program Minggu Solidariti Palestin.
Selain itu, katanya Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman, turut bertanya kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sama ada beliau menerima tekanan daripada mana-mana pihak berhubung penganjuran program itu.
“Sebab itu soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen Sik tadi, adakah terdapat tekanan daripada mana-mana pihak. Kalau dapat tekanan, kita dari PERIKATAN NASIONAL bersedia membela dan berada bersama-sama Kementerian Pendidikan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023




















