Pengampunan: Agong ada kuasa titah rujuk keluarga mangsa

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Buat masa ini, tiada ada-apa peruntukan undang-undang yang menghendaki Lembaga Pengampunan untuk merujuk ahli keluarga mangsa bagi memperoleh keizinan untuk memberikan pengampunan sebelum keputusan ditetapkan.

- Advertisement -

Walau bagaimanapun, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menitahkan supaya rujukan kepada mangsa atau keluarga mangsa dibuat terlebih dahulu.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulos kepada soalan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Guru dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana kesediaan Kerajaan supaya Lembaga Pengampunan merujuk terlebih dahulu kepada ahli keluarga mangsa bagi mendapatkan keizinan pengampunan sebelum keputusan ditetapkan.

Azalina menjelaskan, perkara berkaitan Lembaga Pengampunan adalah termaktub di bawah Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum dengan nasihat Lembaga Pengampunan.

Katanya, di peringkat Persekutuan kuasa Agong adalah bagi kesemua kes dan kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Dalam konteks Persekutuan, katanya Perkara 42 Klausa 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Lembaga Pengampunan adalah terdiri dari seorang menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Peguam Negara atau wakilnya serta tidak lebih dari tiga orang lain yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Tuanku yang hendaklah bukan seorang anggota badan perundangan (legislatif).

“Keanggotaan Lembaga Pengampunan itu sendiri adalah mekanisme terbaik memastikan ia berfungsi dengan adil dan bebas kerana kedudukan Seri Paduka Baginda Tuanku yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan adalah Ketua Negara yang bebas dan berkecuali dari sebarang pengaruh, serta anggota Lembaga Pengampunan yang terdiri dari pelbagai latar belakang dilantik oleh YDPA juga dapat memastikan perjalanannya tidak dipengaruhi atau terpengaruh dengan campur tangan dari mana-mana pihak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2023

- Advertisement -