Kerajaan Madani jangan jadi kerajaan cicak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan menafikan hak pemberian kewangan kepada kerajaan negeri boleh dianggap sebagai tindakan mensabotaj amalan dan semangat faderalisme.

Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkata, lebih teruk lagi jika tindakan tersebut berdasarkan dendam kebencian politik yang keterlaluan.

- Advertisement -

“Bagi mengatasi perkara ini, reformasi faderalisme fiskal perlu dilaksanakan supaya kerajaan negeri mempunyai autonomi yang lebih luas untuk memperolehi sumber hasil baru.

“Reformasi ini termasuk inisiatif baharu dalam amalan desentralisasi fiskal serta penambahbaikan pemberian geran,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan mempunyai negeri-negeri yang ditadbir melalui pilihan raya negeri selain pilihan raya di peringkat parlimen.

“Wilayah Persekutuan mengandungi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Selangor dipimpin oleh PKR dari parti gabungan PH, Negeri Sembilan PKR, Pinang DAP, Perak, Melaka, Johor dan Pahang BN, GRS Sabah, GPS Sarawak, PAS Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya bimbang apabila kita hanya memberi keutamaan kepada negeri-negeri yang ada dalam gabungan bersama PH, maka kita tidak lagi menjalankan semangat federalisme.

“Ini kerana cukai dikutip daripada semua rakyat dalam negeri walaupun di bawah pimpinan PAS, tetapi ketika pengagihan mengapa tiada keadilan dalam pengagihan tersebut,” katanya.

Beliau bimbang kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini seperti cicak, iaitu meninggalkan ekor di belakang, hanya membawa kepala dan tubuh.

“Ini adalah kerajaan cicak, kerajaan yang tidak mempunyai semangat untuk membawa keadilan kepada semua dalam pemerintahan.

“Justeru itu hendaklah kita mengambil ingatan supaya kita menjaga asas-asas yang penting,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -