Detik hitam perhimpunan aman Palestin di Malaysia

Khairul Faizi Ahmad Kamil
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Apa yang berlaku pada hari tersebut merupakan satu detik hitam dalam sejarah kita melaksanakan demonstrasi atau perhimpunan aman (Palestin) di Malaysia.”

Ketua Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Tuan Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata demikian, sambil menambah bahawa kontroversi terhadap laungan takbir yang didakwa peserta telah dilarang oleh penganjur perhimpunan aman ‘Freedom for Palestine’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu tidak seharusnya menenggelamkan agenda utama Himpunan Malaysia. 

- Advertisement -

“Perhimpunan yang diadakan itu merupakan sokongan solidariti rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan yang dilalui oleh penduduk Palestin yang diserang Zionis Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan lebih 5,000 nyawa,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini Malaysia pernah mengadakan perhimpunan aman yang dihadiri oleh ribuan umat Islam  dan juga bukan Islam. 

“Tidak ada pihak yang menghalang dan tidak pernah berlaku apa-apa larangan terhadap apa jua laungan yang nak disampaikan sama ada takbir, kecaman terhadap Israel, kecaman terhadap pemimpin mereka (Israel) dan Zionis.  

“Sepanjang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melaksanakan pelbagai himpunan yang melibatkan isu yang sama, sememangnya kita tidak pernah pun menghalang, malah kita lebih menggalakkan sekiranya kecaman itu dibuat dengan lebih keras termasuklah kita membakar bendera Israel.

“Kita hendak menunjukan apa yang kita lakukan itu sebagai suatu reaksi yang lahir daripada hati kita terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel,” tegasnya kepada HarakahDaily

Tambah beliau, apa yang terjadi semasa himpunan ‘Freedom for Palestine’ ini secara terang-terangan telah menghalang tindakan peserta  yang menghadirkan diri ke perhimpunan tersebut untuk melaungkan takbir. 

“Pada masa itu, bendera Hamas juga diarah diturunkan. Malah mereka telah melabelkan peserta yang hadir ini sebagai  kumpulan Zionis.

“Ini adalah suatu perkara yang amat mengecewakan kita sebagai umat Islam dan juga rakyat Malaysia yang samat cintakan keamanan dan mahukan Palestin itu dibebaskan,” ujarnya. 

Oleh itu, katanya lagi, sangat wajar penganjur tersebut membuat permohonan maaf  kerana telah memalukan sebuah negara di persada antarabangsa kerana iMalaysia merupakan sebuah negara yang cukup kuat untuk mempertahankan Palestin.

Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua masyarakat di Malaysia untuk sama-sama berhimpun pada Sabtu, 28 Oktober ini di hadapan Kedutaan Amerika anjuran PAS sambil bertakbir dan menyatakan solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin serta mengecam dan mengutuk tindakan Israel Zionis. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -