Bimbang liberalisasi ekonomi menjurus kepada sekularisasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) menzahirkan kebimbangan terhadap dasar liberalisasi ekonomi yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan boleh menjurus kepada sekularisasi ekonomi.

Menurutnya, ini berdasarkan ucapan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

- Advertisement -

“Saya secara asas tidak menolak pendekatan liberalisasi ekonomi dalam usaha untuk mendorong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing.

“Namun perlu diingatkan bahawa liberalisasi ekonomi janganlah sekali-kali sampai memberi maksud dan membuka jalan kepada proses sekularisasi ekonomi negara. Sehingga akhirnya reformasi ekonomi itu mengalami kegagalan,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat berkata, sebarang pendekatan ekonomi, bahkan apa sahaja urusan, tanpa bersandarkan syariat Islam sudah pasti akan menemui kegagalan berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Taha ayat 124.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Guru Zulkifli berkata, seorang Muslim akan sentiasa mengambil berat terhadap hukum dan peraturan Allah SWT serta berusaha memastikan hukum-hukum tersebut dipatuhi dalam diri, keluarga dan masyarakat.

“Kebimbangan saya ialah liberalisasi ekonomi jika tidak dipantau akan menjurus kepada sekularisasi ekonomi dan mencabut iltizam perlaksanaannya dari hukum dan peraturan Islam.

“Kebimbangan ini bukan suatu kebimbangan yang tidak berasas. Saya katakan demikian kerana sifat ekonomi kapitalis itu sendiri dalam usaha mencapai kejayaan dan agenda liberalisasi adalah sebuah sistem ekonomi yang berusaha melepaskan diri dari sekatan peraturan dan hukum,” ujarnya.

Jelasnya, usaha golongan kapitalis bukan sahaja bermula dengan penolakan terhadap ekonomi merkantilisme yang mengongkong aktiviti ekonomi pasaran bebas, bahkan juga penolakkan terhadap semua bentuk peraturan yang dianggap merugikan aktiviti ekonomi mereka.

“Ini sudah tentu meliputi halangan-halangan dari peraturan agama dan syariatnya. Kapitalisme adalah ideologi yang mengajarkan bahawa kemajuan ekonomi sesebuah negara, kemakmuran rakyat dan kekayaan hanya akan tercapai melalui pembebasan sepenuhnya aktiviti perdagangan.

“Kebebasan ini telah menjerumuskan aktiviti perdagangan moden kepada bentuk-bentuk perdagangan yang mengenepikan nilai-nilai akhlak, agama dan kemanusiaan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/10/2023

- Advertisement -