Presiden beri panduan penting untuk lalui era kemenangan

- Advertisement -

SHAH ALAM: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata bahawa ucapan dasar dan muktamar serta perbahasan telah diadakan adalah muhasabah supaya kepimpinan dan parti beristiqamah. 

“Tidak tergelincir daripada dasar perjuangan dan sampai ke hala tuju yang diredhai oleh Allah S.W.T terus berjuang selaju-laju, walak dan taat tanpa membantah. Teguh beristiqamah ke hala tuju membujur lalu melintang patah.

“Tema ucapan dasar kita ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan. Tujuannya untuk mengisi kemenangan setelah kita mencapai kemenangan di empat negeri menjadi parti yang paling banyak di peringkat Parlimen.

“Yang boleh bersama memerintah bila-bila masa sahaja insya-Allah. Tema ini bukan sekadar slogan untuk diucap, tetapi untuk dilaksanakan. Dicadangkan supaya tema ini menjadi tema kepada empat buah negeri yang diperintah oleh PAS.

“Tujuannya untuk menegakkan syiar Islam, secara amali dan praktikal, bukan retorik kosmetik. Hiasan-hiasan sahaja,” ujarnya pada ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini sebentar tadi.

Tuan Guru mengupas mengenai kuasa pemerintahan yang mendirikan perintah solat, zakat, kebajikan dan mencegah mungkar di mana tindakan di atas dunia itu juga adalah berwawasankan akhirat.

“Kita PAS (pernah) dirasakan dengan kezaliman-kezaliman yang banyak. Menjadi mangsa kezaliman sepanjang perjuangan. Kita mangsa, penindasan dipinggirkan dan sebagainya. Ini mendidik kita bila jadi kita jadi kerajaan kita jangan buat zalim pada orang.

“Ini sangat penting. Jangan belas dendam. Ini yang diajar oleh Nabi kita Muhammad S.A.W, kita sabar. Kita anggap itu pendidikan dalam perjuangan kita. Jangan jadi macam PH (Pakatan Harapan). Membawa naratif memutar belitkan kezaliman. Tak nampak dia zalim padahal dia buat zalim,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh cabaran setelah mendapat kemenangan sebagaimana Nabi SAW membahagikan harta rampasan dan menghadapi rungutan para Sahabat RA yang tidak berpuas hati dengan Baginda.

Tuan Guru juga membawakan pengajaran daripada perpecahan kalangan Sahabat RA hingga menimbulkan mazhab dan perpecahan umat termasuk kejahilan hingga Islam diperangi mudah oleh musuh.

Akibatnya bentang beliau, terjadilah ketidakadilan ke atas manusia kerana ada yang melampaui batas hingga berbunuhan sebagaimana terjadi di Palestin ketika ini sebelum berlaku jihad kebangkitan.

Mengupas mengenai konsep parti menguasai kerajaan, beliau menjelaskan bahawa perkara itu sebenarnya sudah ada dalam Perlembagaan PAS iaitu Fasa 48D berkenaan polisi dan pendirian PAS.

“PAS sudah membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu. Dianggotai oleh pimpinan PAS Pusat yang ada kebolehan khusus dalam Dewan Harian dan dijemput tokoh-tokoh yang kita pilih untuk memandu kerajaan negeri,” jelasnya.

Tuan Guru turut menyeru semua ahli parti memainkan peranan termasuk di Cawangan juga mesti membantu kerajaan dan mengingatkan sekiranya terdapat kelemahan jangan menumpang untuk menjatuhkan.

Beliau mengupas hadis Nabi SAW mengenai perbuatan gopoh menebuk kapal yang dinaiki kerana mahu cepat mengambil air lalu menyebabkan seluruh penumpang kapal itu menerima akibatnya.

Tuan Guru juga memperihalkan cabaran ke atas agama Islam di negara ini yang pernah dan masih cuba digugat oleh pihak-pihak tertentu dengan pelbagai cara di mana menuntut PAS menanganinya. – HARAKAHDAILY 22/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -