
SHAH ALAM: PAS menjamin untuk keadilan dilaksanakan dalam pemerintahan kerajaan diterajui parti itu dan berpegang bahawa ianya adalah perintah Allah SWT ke atas orang bertakwa.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara tersebut dibuktikan apabila negeri ditadbir PAS bersikap adil dengan memberi peruntukan kepada pihak pembangkang.
Malah ujarnya, Perikatan Nasional (PN) semasa menerajui Kerajaan Persekutuan turut melaksanakan perkara sedemikian, namun Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) pula bertindak sebaliknya.
Beliau berucap pada Ceramah 4 Menteri Besar yang diadakan khas sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di padang hadapan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini malam tadi.
Beliau juga menyentuh mengenai sifat orang beriman antaranya mengotakan janji-janji, sedangkan perbuatan memungkirinya adalah sifat munafik, termasuk juga bercakap bohong dan mengkhianati amanah.
Antara tidak menunaikan janji bidasnya, adalah berkaitan hak royalti petroleum kepada Kelantan, selain label penyamun pihak berkenaan kepada lawan politiknya, tetapi kini mereka berkawan.
Menerusi pemerintahan kerajaan negeri, PAS pula katanya telah menunjukkan contoh kepada Kerajaan Pusat antaranya peruntukan kepada rakyat terutama golongan miskin dan memerlukan.
ADUN Meranti itu mengemukakan contoh pemberian percuma Rumah Dhuafa’ oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan agensi agama di negeri tersebut dengan ketetapan tiga bilik sejak zaman Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kini jelas beliau, aspek pembinaan kediaman tiga bilik seumpama itu bagi kemudahan keluarga golongan miskin setelah itu ditetapkan pula dalam pembinaan rumah oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
“Sekarang ni Pusat dah ambil jadikan satu dasar perumahan negara mesti tiga bilik. Ni kita (Kelantan) yang buat ni alhamdulillah, benda baik orang tiru kita dapat pahala. Orang yang buat dapat pahala dan kita yang mula buat benda ni juga dapat pahala,” ujarnya.
Kerajaan Kelantan juga beritahunya, menerajui pinjaman perumahan tanpa faedah di mana walaupun tidak mendapat pulangan keuntungan kewangan, tetapi ianya tidak menyebabkan kerajaan bankrap.
Jelasnya, penerapan sejak zaman Tuan Guru Nik Aziz itu meyakini mendapat ganjaran pahala yang boleh digunakan di akhirat kelak, selain bantuan memudahkan rakyat miskin itu akan disusuli pertolongan dari Allah.
Terang beliau, hal itu selari perintah dalam ajaran Islam supaya menolong orang lemah yang mana sikap prihatin dan berkebajikan seperti itu Allah SWT akan melepaskan pelakunya dari kesusahan di dunia dan akhirat.
Juga dilaksanakan di Kelantan beritahunya, adalah pemberian beras percuma kepada rakyat miskin, tidak sebagaimana sekarang yang berlaku dalam negara rakyat terpaksa berebut dan membayar mahal.
Tambah beliau, ketika mana Umno yang begitu lama memegang kuasa sedang menuju kehancuran parti itu, PAS pula dengan mandat kuasa diberikan rakyat memegang amanah dan janji kepada rakyat.
Begitu juga menurutnya pada aspek integriti di mana Umno hancur kerana rasuah, PAS pula membuktikan pemerintahannya lebih 30 tahun di Kelantan bersih tanpa ada wakil rakyat negeri itu didakwa melakukan rasuah. – HARAKAHDAILY 21/10/2023




















