Perlis tidak mahu terus bergantung bantuan Pusat

- Advertisement -

SHAH ALAM: Perlis yang kini ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha mengeluarkan pergantungan negeri itu kepada Kerajaan Persekutuan ke arah mensejahterakan rakyatnya.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, negeri tersebut selama ini tidak pernah mempunyai kewangan yang cukup di mana memerlukan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Memang itu hak rakyat negeri Perlis. Apabila kita (PN) jadi kerajaan, kita sambung segala projek yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum dan kita dapat selesaikan pelaburan lebih kurang RM2.5 bilion, Umno-PH (Pakatan Harapan) marah.

“Sebab dia kata itu sambung hat kami. Saya kata kalau saya berhenti sekerat jalan, rugi segala kajian, segala projek yang telah dirancang buat. Apa sebab tak boleh nak sambung?

“Selain daripada kita tidak membazir, kita teruskan projek yang sedia ada oleh kerajaan sebelum yang tertangguh begitu lama. Kita boleh selesai, alhamdulillah,” ujarnya dalam Ceramah 4 Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC, di sini malam tadi.

Menurut beliau, pelaburan RM2.5 bilion tersebut boleh dianggap banyak bagi negeri kecil seperti Perlis yang hanya memiliki tiga Parlimen dan rakyat sekitar 280,000 orang di mana berharap tidak dibandingkan dengan Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Maklum beliau, hutang yang dibuat oleh kerajaan terdahulu juga sedang ditanggung bayar oleh pentadbiran beliau, sekali gus tidak ada sebab untuknya menghentikan projek kerajaan sebelum-sebelum itu.

“Kemudiannya baru-baru minggu lepas, kita mesyuarat sekali lagi tentang pelaburan, ada pelaburan baru RM1.3 bilion. Alhamdulillah tambah-tambah jadi banyaklah Perlis ni. Kita harap selepas daripada ni kita tak bergantung dengan Kerajaan Pusat.

“Insya-Allah kita berusaha ke arah itu untuk mensejahterakan rakyat negeri Perlis. Sebab rakyat negeri Perlis ni ramai lagi yang B40,” ujar beliau yang juga ADUN Sanglang dan Pesuruhjaya PAS Perlis.

Shukri turut memberitahu, ketika mana isu beras sedang berlaku di seluruh negara ketika ini, Perlis tidak mengalami masalah tersebut kerana negeri itu membekalkan 20 peratus keperluan negara.

Beliau juga mempelawa orang ramai berkunjung ke negeri itu sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang turut diadakan sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis.

Bekas pendidik yang mesra dipanggil ‘Cikgu Shukri’ itu turut berharap semua pihak memberi masa kepada beliau bagi melaksanakan pembaikan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.

Jelasnya, negeri tersebut telah ditadbir Barisan Nasional (BN) selama 70 tahun 6 bulan, sebelum gelombang kebangkitan rakyat memberi mandat kepada PN dalam PRU15 pada November tahun lalu.

“Jadi bila boleh dekat saya ini nak kikis pun yang itu cukup payah. Dia perlukan masa macam mana saya lihat perancangan YAB Dr (Ahmad) Samsuri (Mokhtar – Menteri Besar Terengganu) penggal yang pertama ini _repair_ cuci apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum.

“Saya di Perlis baru 11 bulan. Kita perlukan yang lebih panjang untuk kita nak memperelokkan pentadbiran kita ni. Alhamdulillah, pegawai-pegawai kerajaan bersama dengan kita dalam mentadbir negeri. Mereka profesional.

“Cuma ada seorang dua yang bermasalah itu kita akan atasi dengan baik. Dengan cara berkawan. Saya senang saja mana-mana pegawai kerajaan yang saya nampak tak menyokong, saya akan telefon. Sembang dengan dia ajak minum kopi,” ujarnya.

Shukri juga berharap dengan tertubuhnya ‘State-Government 4’ (SG4) di mana penasihatnya adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, maka Perlis akan menjadi salah satu kuasa ekonomi. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -