‘Anak-anak papa semua marah kat saya’ – Sanusi

Anwar saman pengkritik seperti dilakukan Lee Kuan Yew

- Advertisement -

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat melakukan praktik sama seperti bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew apabila bertindak mengheret pengkritiknya kepada tindakan saman di mahkamah.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian dalam Ceramah 4 Menteri Besar yang diadakan khas sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini malam tadi.

“Siapa kritik saman, siapa kritik saman. Nak jawab tak reti. Ada depa jawab saya kritik? Tak ada. Depa kata saya duk kata kat depa. Depa kata mulut cabul. Pasal depa tak reti jawab, depa saman. Menang kalah tak tentu lagi,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menyenaraikan saman dan perbicaraan sedang dihadapinya, namun turut memberitahu saman dikemukakannya kepada beberapa individu.

“Semua itu kita akan jawab di mahkamah dan kita berhadapan dengan risiko itu semua. Cara ni akhirnya Singapura tak ada pembangkang. Cara hat depa (Anwar) buat ni. Siapa nak bangkang, buka mulut kena saman. Buka mulut kena saman.

“Siapa nak macam itu? Walaupun kita boleh jawab di mahkamah, kita boleh berlawan, boleh berentap, tapi dia akan memakan masa, memakan kos, buang masa kita, merenyahkan kita.

“Tapi tak apa, insya-Allah dengan segala kudrat yang ada, sokongan rakan-rakan, semua kes mahkamah, sama ada kita saman orang, orang saman kita, kita akan hadapi, insya-Allah. Semua itu kita akan menang insya-Allah,” ujarnya optimis.

Mengulas isu semasa, Sanusi menyentuh mengenai kejatuhan nilai Ringgit yang disindirnya menghampiri ‘harga Rahmah’ berbanding Dolar Amerika di mana ia sangat memberi kesan kepada import.

Antaranya kemuka beliau, import makanan yang sebesar RM80 bilion akibat daripada negara tidak mampu mengeluarkan sendiri makanan secukupnya di mana pasti meningkat kesan kejatuhan nilai Ringgit.

Menurut beliau, angka tersebut mungkin berubah kepada RM100 bilion, sedangkan mereka itu semasa menjadi pembangkang pernah mengkritik kerajaan tidak tahu menjaga negara apabila nilai Ringgit jatuh.

Namun mereka itu bidas Sanusi, menghadap isu tersebut dengan memberikan pelbagai alasan diberikan apabila rakyat mulai mengkritik keupayaan tadbir urus kerajaan bagi menangani situasi yang terjadi.

“La (sekarang) orang kata kat dia, duit makin jatuh ni pasal hang tak reti jaga negara ni. Kita kata kat dia balik, boleh? La hang nak jawab apa? Bila orang pakai ayat hang kat hang balik?

“Saya duk nampak, dia ni ni apa yang dia lawan dulu, apa yang dia kata dulu, apa dia kata tak boleh? Sekarang semua dia sedang buat benda tu. Betul tak? Lepas tu pasai pa negara ni ada masalah?

“Sebab dia ulang apa yang dia lawan. Dia buat apa yang dia kata tak boleh. Dia marah orang dulu buat benda itu, la dia buat benda yang sama. Lepas itu tak bagi kita kata kat dia ni. Anak-anak papa ni semua marah kat saya,” ujarnya.

Sanusi turut menyanggah dakwaan kononnya beliau selalu mengulang caci maki kepada Perdana Menteri, sedangkan perkataan paling kasar pernah diungkapkan bahawa Anwar sering berbohong tatkala membuka mulut.

Tetapi tegas beliau, Anwar sememangnya telah berbohong secara terbuka membabitkan beberapa urusan mengenai Kedah antaranya berkenaan projek Lapangan Terbang Kulim (KXP), pengguguran ECK dan penarikan diri Tan Sri Mukhtar al-Bukhary.

ADUN Jeneri itu turut mengkritik Anwar dengan membayangkan Perdana Menteri itu berbohong mengenai dakwaan perbualan menerusi panggilan telefon dengan beberapa pemimpin dunia. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -