Istiqamah jemaah kekuatan utama PAS

Zulhilmi Suboh
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kekuatan utama PAS adalah istiqamahnya jemaah dengan dasar-dasar Islam melalui prinsip tarbiyah dan walak.

Pembahas negeri Melaka, Zulhilmi Suboh ketika mengulas lanjut berkata, tanpa prinsip tersebut, maka PAS akan jadi seperti parti-parti yang lain dan sia-sia.

- Advertisement -

“Saban tahun dalam Muktamar (PAS)… kita bercakap tentang tarbiyah dan pembentukan jati diri.. sebagai ahli PAS yang sejati, pelbagai usaha yang kita lakukan untuk meningkatkan tahap pentarbiyahan termasuk menyiapkan silibus dan teks bagi usrah, thamrin, persediaan mukawab dan kompeten

“Kenapa kita perlukan tarbiyah ini selari dengan perjuangan kita? Kerana dalam tarbiyah antaranya terdapat konsep murodah seperti yang dinyatakan dalam penghujung Surah Ali ‘Imran iaitu untuk melahirkan perasaan gerunnya musuh terhadap kita.

“Kita tidak boleh terus kekal dalam keadaan ini, kita juga jangan jadikan cara berfikir kita adalah cara berfikir hierarki yang gagal disebabkan kerana kita tidak dapat terjemahkan apa yang hendak dibawa oleh pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan dasar presiden pada hari kedua Muktamar PAS di IDCC, di sini, hari ini.

Oleh demikian, katanya, bagi meningkatkan prestasi pentarbiyahan iaitu memastikan program-program tarbiyah benar-benar berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan di dalam takwim jemaah.

“Acap kali kita dengar program usrah umpamanya hanya berjalan secara bermusim sahaja sedangkan usrah sepatutnya menjadi agenda utama dan menjadi darah daging kita sebagai ahli jemaah.

“Semua ahli mestilah dijemput, dimaklumkan dan jika tidak hadir diziarahi supaya tidak ada yang terlepas daripada terlibatnya sistem tarbiyah ini,” ujarnya lagi. 

Beliau turut mencadangkan agar mewujudkan sistem yang boleh mengukur keberkesanan program tarbiyah.

“Sistem petunjuk prestasi utama (KPI) mestilah diamalkan seserius yang mungkin untuk mengukur keberjayaan program ini.

“Dengan cara ini barulah kita boleh melihat sejauh mana program tarbiyah yang dirancang telah dijalankan dalam masa yang sama kita dapat menilai keberkesanan program melalui indikator-indikator KPI yang telah ditetapkan.

“Akhirnya kita akan dapat membuat penilaian untuk menambah baik program tarbiyah kita dari semasa ke semasa, jika tidak kita akan terus syok sendiri mendabik dada kononnya kita pejuang Islam,” jelasnya.

Namun, beliau mengakui akan hakikatnya apabila ahli tidak memahami apa yang hendak diperjuangkan, bagaimana memperjuangkan dan akhirnya akan menimbulkan masalah dari segi ketidakfahaman dan kecelaruan fikrah serta mempersoal keputusan pimpinan dan jemaah. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -