PAS konsisten menentang perpecahan kaum

Sahrul Khair Osman
- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS merupakan salah satu parti tunjang di Malaysia yang  akan konsisten menentang perpecahan kaum.

Wakil pembahas negeri Sarawak, Sahrul Khair Osman berkata, PAS sentiasa membawa mesej keamanan dan kesejahteraan agar selari dengan mesej Islam iaitu rahmat sekalian alam.

- Advertisement -

“PAS Sarawak insya-Allah, akan sentiasa konsisten dengan komitmen dan tanggungjawab jemaah di bumi Sarawak Darul Hana dengan kesiapsiagaan untuk membawa mesej Islam dalam semua sudut di bumi Sarawak terutamanya dakwah, tarbiyah dan siasah.

“PAS Sarawak juga sedang memberi fokus dan komitmen serta usaha yang tinggi untuk mencetak kadir-kadir yang akan menjadi pelapis pimpinan dan barisan hadapan perjuangan PAS di bumi Sarawak Darul Hana, insya-Allah dalam masa akan datang.

“Bumi Sarawak sangat luas, terlalu luas.. untuk itu perhatian kepada bumi Sarawak dari sudut aspek-aspek ekonomi, pendidikan, dakwah, tarbiyah mahupun jentera-jentera PAS di Sarawak, kami masih lagi mengharapkan bimbingan panduan daripada tuan-tuan sekalian Insya-Allah mudah-mudahan di Sarawak kelak ada satu kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan Dasar Presiden pada hari kedua Muktamar PAS di IDCC, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tidak patah semangat apabila ketika PAS di negeri lain menyebut-nyebut bilangan kerusi di parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“PAS Sarawak akan tetap terus memegang kemas amanah parti dan ahli seluruh Malaysia bagi merealisasikan satu DUN sulung PAS di Sarawak dengan pelan panjang daripada tahun 2017 sehingga bertemu 2028.

“Apakah mungkin tercapai atau apakah mungkin kita bertemu dengan pencipta kita terlebih dahulu..,” ujarnya.

Sehubungan itu, PAS Sarawak turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Presiden yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti yang sentiasa cakna dengan perkembangan di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -