Belanjawan 2024 abai aspek pembangunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu merupakan peruntukan tertinggi dalam sejarah pembentangan belanjawan negara.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM393.8 bilion, meskipun perbelanjaan negara semakin meningkat saban tahun.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya hanya RM90 bilion diperuntukkan terhadap aspek pembangunan yang dilihat hampir sama dengan Belanjawan 2023 yang dibuat ketika era PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM393.8 bilion adalah belanjawan tertinggi setakat ini. Tahniah, malangnya hanya RM90 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.

“Apabila dilihat dengan lebih teliti, peratus peruntukan pembangunan bagi belanjawan ini adalah 23 peratus dan hampir sama dengan peratus belanjawan pembangunan 2023,” katanya.

Bercakap ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, Ahli Parlimen Larut berkata, kerajaan Madani juga dilihat bersungguh-sungguh mengejar kadar defisit fiskal lebih rendah.

Hal itu kata beliau, berbanding menyediakan satu belanjawan yang boleh membantu kesejahteraan kehidupan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara pasca Pandemik Covid-19.

Beliau turut menimbulkan persoalan adakah pendekatan tersebut merupakan cara terbaik, terutama apabila kerajaan mengurangkan peruntukan kepada rakyat dalam pembelian subsidi.

“Apa guna berbangga dengan penurunan kadar defisit fiskal, penurunan kadar inflasi dan penurunan kadar pengangguran tetapi realiti sebenar dialami oleh rakyat adalah berbeza.

“Strategi pengurusan defisit fiskal dalam belanjawan ini pastinya mempunyai hubung kait dengan pengurusan hutang yang ditangggung kerajaan ketika ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2023

- Advertisement -