
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan langkah strategik bagi menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan yang membabitkan beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, isu tersebut memberi kesan negatif kepada kehidupan rakyat negara ini akibat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setiap hari.
Katanya, kerajaan perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai tindakan yang boleh dibuat untuk memastikan pembakaran terbuka di Sumatera, Indonesia dapat dihentikan.
“Minta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan akta sedia ada yang mampu dikuatkuasakan kepada negara jiran akibat tindakan yang memberi kesan negatif.
“Ini terutama dalam isu jerebu yang diakibatkan oleh pembakaran terbuka di bahagian Sumatera,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagaimanapun menjelaskan sehingga kini kerajaan tiada akta khusus terhadap negara lain yang menjadi punca jerebu.
Beliau berkata, kerajaan hanya mempunyai Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mencegah dan mengawal pencemaran alam sekitar yang hanya dapat dikuatkuasakan dalam negara.
Berkenaan jerebu rentas sempadan, katanya kerajaan mengambil pendekatan diplomasi dan berpandangan rundingan dua hala merupakan langkah terbaik menangani isu terbabit.
Jelas beliau, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Luar pada 6 Oktober lalu telah mengemukakan nota diplomatik kepada Indonesia bagi memaklumkan mengenai situasi jerebu di Malaysia.
“Kita menyatakan kesediaan negara bekerjasama dalam operasi pemadaman segera di kawasan terjejas, tetapi saya setuju bergerak ke depan mungkin kita perlu dalam kalangan ASEAN. – HARAKAHDAILY 12/10/2023




















