
KUALA LUMPUR: Masalah hakisan pantai hingga menyebabkan benteng penahan ombak pecah menyebabkan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) memperjuangkan penyelesaian masalah ini yang melanda pantai di Kuala Langat.
Pesuruhjaya PAS Selangor membangkitkan isu ini ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta penjelasan status projek mengatasi masalah fenomena air pasang besar dan hakisan pantai di Pantai Barat Semenanjung Malaysia yang telah diluluskan dalam Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-11 (RP3 RMK11).
“Saya juga mahu mendapatkan maklumat status program penanaman pokok bakau yang saya kira tidak 100 peratus akan hidup. Saya berpandangan bahawa perlu ada pemantauan supaya pemecah ombak semula jadi ini dapat berlaku dengan baik.
“Ketiga, saya hendak tahu kemungkinan ada teknik baharu berbanding ban sedia ada yang menggunakan tanah. Mungkin sudah tiba masa menggunakan gegelung dan sebagainya supaya lebih stabil untuk mengawal hakisan,” katanya.
Sebelum itu, beliau mengucapkan terima kasih terhadap projek mengatasi hakisan pantai yang akan dimulakan Pantai Cunang, Kuala Langat serta pembinaan benteng pemecah ombak di Pantai Morib yang membabitkan kos RM47 Juta.
Sementara itu Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, 26 projek mengatasi masalah fenomena air pasang besar dan hakisan pantai di lapan negeri diluluskan di bawah RP3 RMK-11 dengan kos RM200 Juta.
“Di Kuala Langat, projek dilaksanakan di Pantai Klanang, Pantai Morib, Pantai Cunang, Pantai Tanjung Sepat dan Pantai Pulau Carey.
“Anggaran kos ialah sebanyak RM47.7 juta di bawah peruntukan RMK12 dan dalam proses prapembinaan. Skop utama projek ialah membina dan menaik taraf benteng pantai dengan sasaran untuk memastikan perlindungan kepada 55,000 penduduk di kawasan Kuala Langat daripada risiko banjir pantai dan limpahan air masin,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/10/2023




















