
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta penjelasan kerajaan berhubung peruntukan yang akan digunakan bagi pelantikan Peguam Negara (AG) selepas pengasingan peranan AG dan Pendakwaraya berkuat kuasa.
Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yakin bahawa kerajaan sedar dan memahami bahawa pelantikan AG di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan akan mempunyai pindaan.
“Apabila pindaan yang hendak dibuat oleh kerajaan sekarang, nak guna peruntukan yang mana? Adakah atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Perundangan atau kekal dengan pelantikan AG atas nasihat Perdana Menteri?
“Adakah selepas pindaan ini dibuat, jawatan Peguam Negara akan menjadi salah seorang ahli Kabinet ex-officio (seperti di peringkat negeri), Penasihat Undang-Undang negeri menjadi ex-officio dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti berdasarkan model negara yang akan dirujuk kerana setiap negara mempunyai cara pelaksanaan yang berbeza.
“Kita memang dalam perjalanan (ke arah melakukan perubahan) dan akan mengambil masa. Namun, komitmen kita ialah.. apabila berbincang bersama Ahli Yang Berhormat di dua-dua belah pihak.. akan dibawa bersama pada setiap tahap perbincangan.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan supaya pindaan ini dibuat secara tulus dan diberikan penekanan kepada tatakelola supaya rakyat diutamakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















