
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mempersoalkan keputusan kerajaan tidak menyahklasifikasikan perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Indonesia pada 8 Jun lalu.
Katanya, perjanjian itu dirancang sejak 18 tahun lalu dan Malaysia tidak menandatangani kerana ada isu-isu tertentu.
“Namun apabila kerajaan baharu Madani masuk, ia ditandatangani sebegitu cepat dan mengundang spekulasi.
“Saya tidak salahkan kamu, tetapi sebab itu saya katakan kalau di sana perlu retifikasi, adakah kerajaan juga bercadang membuat ratifikasi di dewan kita (Dewan Rakyat),” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga mencadangkan kemungkinan Jawatankuasa Pilihan Hal Ehwal Luar Negara mengadakan prosiding berhubung perkara itu untuk meredakan spekulasi berkenaan.
Katanya, pelbagai pihak membuat spekulasi berhubung perkara ini, terutama apabila `pihak sebelah sana’ meraikan kemenangan berhubung perjanjian itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata dokumen itu hanya boleh dikongsikan kepada umum selepas kedua-dua negara menyempurnakan proses ratifikasi berdasarkan undang-undang domestik masing-masing.
Katanya, kerajaan sentiasa berpegang kepada dasar luar Malaysia yang bertunjangkan prinsip utama seperti menghormati kedaulatan wilayah asing dan undang-undang antarabangsa, tidak mencampuri urusan dalaman negara lain, menyelesaikan konflik aman dan menjalankan hubungan dengan negara lain demi manfaat bersama. – HARAKAHDAILY 9/10/2023




















