Projek bekalan air AKSB perlu dapat kelulusan agensi Pusat

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan negeri memberi tumpuan menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi sebahagian pengguna disebabkan tekanan rendah.

- Advertisement -

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, langkah tersebut termasuk membina loji rawatan air mini.

Katanya, kerajaan negeri mempunyai kemampuan untuk membina kemudahan terbabit yang mampu mengeluarkan air bersih sehingga enam juta liter sehari bagi penduduk.

“Kita berupaya membina loji rawatan air mini bagi menyelesaikan masalah bekalan air kepada pengguna.

“Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mahu fokus utama memberi komitmen untuk menyelesaikan isu bekalan air,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Meranti Baharu, di sini semalam.

Perasmian disempurnakan Menteri Besar. Kerajaan negeri membelanjakan RM10.2 juta untuk membina LRA Meranti Baharu bermula pada Februari 2022, mampu menghasilkan enam juta liter sehari kepada 4,300 pengguna.

LRA itu bakal memenuhi permintaan penduduk di Kampung Berangan, Kampung Jeneris, Kampung KUbang Chenak, Kampung Perupok, Kampung Banggol Nangka dan Kampung Tok Midin.

Menurutnya juga sehingga sekarang RM62 juta dibelanjakan kerajaan negeri bagi projek pembinaan loji rawatan air mini di Kelantan.

Bagaimana beliau Dr Izani berkata, penyelesaikan masalah air di Kelantan bukan digalas Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), ia turut membabitkan agensi di bawah kerajaan persekutuan.

Kata beliau perancangan AKSB masih terikat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan anak syarikat Kementerian Kewangan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Katanya sebarang perancangan kerajaan melalui AKSB perlu mendapat kelulusan SPAN dan PAAB yang memakan masa sehingga tiga tahun untuk menyiapkan sesebuah projek loji air.

“Jadi prosesnya mengambil masa bukan setahun kerana perlu mendapat kelulusan daripada agensi Pusat terbabit sebelum dibuat pelantikan kontraktor

“Maknanya nak siap satu-satu projek mengambil masa sehingga tiga tahun. AKSB masih lagi terikat dengan agensi-agensi lain di bawah kerajaan Pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2023

- Advertisement -