
KUALA TERENGGANU: Gesaan MCA supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara turut mendapat sokongan Bersatu.
Ketua Penerangan Bersatu Pusat Datuk Razali Idris berkata, kegagalan Menteri Kewangan sekarang sehingga nilai ringgit Malaysia jatuh RM4.73 berbanding USD1.
Katanya tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini mata wang ringgit jatuh ke tahap tersebut.
“Kejatuhan nilai ringgit memberi kesan kepada barangan yang diimport sehingga menyebabkan harga di pasaran tempatan melonjak.
“Setakat ini tiada ada usaha serius kerajaan ke arah mengurangkan harga barangan keperluan harian. Jadi saya rasa wajar Anwar letak jawatan menteri kewangan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong dilapor mengesa Anwar meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan bagi memberi tumpuan pentadbiran negara.
Mike sebelum itu turut mencadangkan Anwar memecat Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Dato’ Seri Mohamad Sabu kerana didakwa gagal melaksanakan tugas.
Razali juga berkata, Anwar perlu mengambil langkah itu memandangkan rakyat sekarang dihimpit kenaikan kos sara hidup dan pendapatan tidak meningkat.
“Tidak nampak ada usaha ke arah menstabilkan harga barang atau meredakan kesusahan rakyat. Sepatutnya dari dahulu lagi kerajaan beri penekanan kepada kartel.
“Bukan hanya beri penekanan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari, bukan dia sahaja yang berniaga beras,” katanya.
Menurutnya juga sekiranya MCA sebagai rakan sekutu dalam kerajaan PH-BN memberi desakan supaya Anwar meletakkan jawatan Menteri Kewangan bermakna kedudukan kerajaan begitu parah.
Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri berkata, tindak tanduk Anwar bertentangan manifesto PH yang tidak mahu perdana menteri juga berperanan sebagai menteri kewangan.
“Jadi beliau langgar janji sendiri. Janji dalam manifesto pun dia langgar. Itulah Allah SWT balas balik,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/2023




















