Bahaya bergantung kepada makanan import

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap aspek keterjaminan makanan ketika negara berhadapan peningkatan harga beras import dan kekurangan beras tempatan.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, pertanian merupakan perkara asas yang sangat penting sekali gus memberi jaminan yang kukuh kepada kepesatan pembangunan negara.

- Advertisement -

Menurutnya, walaupun negara mempunyai kawasan pengeluaran padi yang sangat luas, negara masih belum mampu mencapai Kadar Sara Diri (SSL) dan terus bergantung kepada makanan import.

“Persoalan pertama, sejauh mana usaha efektif kerajaan bagi memastikan kita benar-benar mampu mencapai SSL bagi makanan utama seperti beras dan daging.

“Ini penting supaya kita tidak terus bergantung kepada negara lain, seperti yang kita maklum kos import makanan mencecah RM60 bilion dan dari segi jaminan keselamatan, ini tidak baik,” katanya.

Naib Presiden PAS itu berkata, selepas negara merangka Dasar Agromakanan Negara, negara dikejutkan dengan pemberhentian eksport beras oleh negara pengeluar global.

Beliau berkata, selain kejatuhan nilai mata wang negara, perubahan cuaca dunia termasuk fenomena el nino, kemarau yang menjadi pemangkin kepada langkah tersebut.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu merangka perancangan yang tuntas bagi memastikan sektor pertanian terus diperkasakan.

“Selain itu, apakah langkah mitigasi untuk mengurangkan risiko dan kerjasama boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani kesan bencana alam kepada kawasan padi.

“Masalah berkaitan ini sering berlaku seperti di kawasan saya dan kawasan lain, kekurangan bekalan air untuk mengairi sawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -