Pendekatan politik kerajaan PH-BN masih era purba

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pemikiran dan pendekatan politik kerajaan PH-BN hari ini dianggap masih berada di zaman purba kala.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, mereka cuba untuk membendung maklumat yang disampaikan kepada rakyat.

“Mereka terpaksa membendung maklumat yang dikeluarkan melalui media sosial, seolah-olah nak perbodohkan rakyat, dia ingat zaman ini zaman batu dia cuba untuk nak mencengkam atau membendung maklumat sampai kepada rakyat.

“Yang kedua mereka marah sangat sebab pembohongan mereka itu terserlah dan tidak boleh nak tipu kerana dalam media sosial segala ucapan-ucapan boleh diputar balik untuk didengar oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa laman berita yang menerbitkan kandungan mengkritik kerajaan disekat.

Tambah beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), rakyat malah lebih menyampah dengan tindakan kerajaan yang kontra dengan ucapan mereka sewaktu menjadi pembangkang.

“Janji reformasi soal kebebasan bersuara zaman mereka menjadi pembangkang tapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Maka apa yang berlaku ini menambahkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan, cakap tidak serupa bikin itulah kerajaan kakitokrasi yang hanya ada kuasa tetapi pengaruh tidak ada, maka inilah yang berlaku.

“Nak tunjukkan kuasa, maka mencengkam rakyat dengan ugutan-ugutan yang ada,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, semua maklum bahawa kebebasan bersuara pasti ada hadnya.

“Cukup dengan akta yang ada seperti akta hasutan dan sebagainya boleh ambil tindakan. Apa yang dikritik oleh portal-portal, televisyen internet dengan bentuk fakta bukannya berbentuk auta.

“Contohnya mereka sebut hari ini mereka tidak pernah janji pun turun harga minyak, itu janji pada 2008, kononnya pada waktu itu PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat, tiba-tiba boleh kita keluarkan balik bagaimana video mereka berucap pada tahun 2022 masih berjanji yang sama.

“Jadi akhirnya hari ini terutama rakyat yang celik IT dan media sosial menolak kepimpinan PH yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau dalam masa sama turut mengulas berhubung undang-undang baharu berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Menurut beliau, sepatutnya orang yang permainkan agama yang menolak peranan agama Islam patut diambil tindakan bukan orang yang nak menegakkan agama.

“Yang keduanya berkenaan soal bangsa ia terdapat dalam 153 hak keistimewaan orang Melayu, itu yang termaktub. Yang perlu diambil tindakan bila orang pertikaikan tentang hak keistimewaan orang melayu bukan orang yang memperjuangkan hak orang Melayu.

“Yang ketiganya soal Raja, itu pun perkara yang telah pun wujud di dalam perlembagaan soal kedaulatan raja-raja. Orang yang hina institusi ini memang perlu diambil tindakan. Tetapi orang nak pertahankan kedudukan raja-raja, tidak boleh dianggap sebagai nak pertikaikan raja-raja,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2023

- Advertisement -