
MUAR: Pengerusi As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed mengingatkan pengundi supaya keluar mengundi awal di pusat mengundi susulan cuaca yang tidak menentu pada sebelah petang.
Beliau berkata, pengundi tidak seharusnya menunggu di saat akhir untuk menunaikan kewajipan mereka membuang undi.
“Saya bagi pihak As-Sabiqun PAS Pusat merayu pengundi di DUN Simpang Jeram khususnya saluran pertama mengambil peluang dan tanggungjawab untuk mengundi bagi menentukan pemimpin mereka.
“Berikan undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL iaitu pakar bedah vaskular, Dr Mohd Mazri Yahya,” katanya ketika ditemui di majlis meraikan jentera kempen As-Sabiqun di Simpang Jeram, malam tadi.
Beliau terharu dengan pengorbanan ahli As-Sabiqun di seluruh negara yang datang ke Simpang Jeram untuk membantu memenangkan calon PERIKATAN NASIONAL.
Katanya, ini menunjukkan komitmen As-Sabiqun dan As-Sabiqat dalam gerak kerja pilihan raya.
“Saya yakin dan percaya calon kita Dr Mazri akan memperolehi kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram hari ini,” katanya.
PRK DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak dengan Parlimen Pulai hari ini susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Menurut Dr Mahfodz lagi, pengalaman As-Sabiqun itu akan diteruskan untuk kempen di DUN Pelangai, Bentong.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini sementara penamaan calon 23 September. – HARAKAHDAILY 9/9/2023











