
MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya berharap para pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada sebelah pagi.
“Saya menyeru kepada semua untuk keluar beramai-ramai pagi ini sebab kita takut petang kadang-kadang hujan, jadi sempurnakanlah tanggungjawab anda,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian kepada media selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Batu, pagi ini. Turut Bersama beliau ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin. (Foto atas)
Katanya, pusat mengundi itu adalah yang pertama dilawati dengan jumlah pengundi lebih kurang 1,700 orang.
“Alhamdulillah, mengikut pegawai di dalam, lebih kurang 100 hingga 200 telah hadir ke pusat mengundi ini awal pagi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap para pengundi di DUN Simpang Jeram dapat menunaikan tanggungjawab mengundi sehingga lebih daripada 80 peratus.
“Jadi kita harapkan jumlah pengundi kita di Seluruh Simpang Jeram ini kalau boleh lebih daripada 70 peratus mengikut PRN sebelum ini lagi bagus 80 peratus untuk kita menunaikan tanggungjawab setiap pengundi kita dalam amalan demokrasi di negara ini,” tambahnya.
Menurutnya, jumlah pengundi yang keluar mengundi pada pagi ini sangat memberangsangkan.
“Saya tengok di dalam ini sangat memberangsangkan, mengikut pegawai seminit satu pengundi telah hadir. Jadi ini merupakan satu perkara yang baiklah,” katanya lagi.
Ditanya mengenai ‘mood’ beliau, katanya ia seperti biasa dan berharap semuanya berjalan dengan lancer.
“Mood saya seperti biasa gembira dan kita harap semua berjalan dengan lancar.
“Bagi kami kalau menang itu bukan persoalannya yang penting kita telah melaksanakan amalan demokrasi di dalam negara,” jelasnya.
DUN Simpang Jeram mempunyai 48,301 pengundi dengan 14 pusat pengundian.
Sementara itu, tinjauan Harakahdaily mendapati ada dalam kalangan para pengundi menunggu di hadapan pusat mengundi seawal jam 7.30 pagi.
Sebaik pintu pagar dibuka, mereka terus ke tempat semakan nama pemilih dan seterusnya membuang undi mengikut saluran masing-masing.
Cuaca pada sebelah pagi ini yang cerah membolehkan para pengundi menunaikan tanggungjawab dengan selesa.
Sekitar jam 9.30 pagi, suasana di beberapa tempat mengundi semakin meriah dengan jumlah kehadiran pengundi yang lebih ramai.
Walaupun pergerakan kenderaan agak perlahan di beberapa jalan menuju ke tempat mengundi namun proses pengundian berjalan lancar. – HARAKAHDAILY 9/9/2023











