PRK: 9 Sept sebagai hari referendum rakyat

Datuk Dr. Dominic Lau
- Advertisement -

MUAR: Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mengingatkan 9 September adalah hari yang sangat penting bukan sahaja kepada warga DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

- Advertisement -

Menurut beliau hari tersebut penting bukan sahaja untuk mengundi dan memilih wakil rakyat yang akan berkhidmat selama lima tahun.

“Tetapi hari itu adalah satu referendum yang menunjukkan kemarahan rakyat dan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan Anwar Ibrahim,” katanya ketika berucap di Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Simpang Jeram, di Markas PAS Bakri, di sini malam tadi.

Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Pusat itu juga menegaskan 9 September itu juga akan menentukan hala tuju negara Malaysia.

Justeru itu beliau mengingatkan semua pengundi di Simpang Jeram dan Pulai agar keluar beramai-ramai mengundi dan menangkan calon PERIKATAN NASIONAL.

Beliau turut berkempen bersama calon, Dr Mohd Mazri Yahya selama beberapa hari di Simpang Jeram dan Pulai.

“Saya terkejut, sebab yang bertanding calon dari Pakatan Harapan (PH) tetapi mengapa ada dua bendera. Saya nampak bendera dacing di Simpang Jeram dan Pulai.

“Saya bertanya kenapa ada dua bendera sedangkan yang bertanding itu calon dari Pakatan Harapan. Pemimpin-pemimpin Umno berkata, kebanyakan penyokong Barisan Nasional (BN) tidak tahu kali ini yang bertanding adalah calon daripada Pakatan Harapan,” ujarnya.

Ini menunjukkan kata beliau, satu mesej yang sangat kecil pun Pakatan Harapan tidak boleh salurkan kepada pengundi.

Katanya ia sangat berbeza dengan PERIKATAN NASIONAL yang tidak kisah siapa calon sama ada daripada PAS, Bersatu atau Gerakan kerana hanya menggunakan satu logo iaitu PERIKATAN NASIONAL.

Beliau berharap pengundi di Simpang Jeram dan Pulai tidak takut untuk mengundi calon PERIKATAN NASIONAL kerana parti gabungan itu telah menang besar di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Katanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, PERIKATAN NASIONAL bertanding 245 kerusi dan menang 149 kerusi.

“Di Kedah kita bertanding 36 kerusi DUN, PERIKATAN MENANG 33 kerusi, Pakatan Harapan hanya 3 kerusi. PAS (PERIKATAN NASIONAL) menang di Kelantan 43 kerusi, 2 PH dan Terengganu menang semua kerusi, 32.

“Selangor dahulu 5 kerusi sekarang 22 kerusi DUN. Pulau Pinang 11 DUN, Negeri Sembilan dari kosong kerusi, menang 5 DUN,” katanya.

Beliau berkata parlimen Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim dapat dirobohkan pada PRU15 dan pada PRN, tiga DUN dapat ditawan oleh PERIKATAN NASIONAL.

Katanya, itulah gelombang rakyat yang ada sekarang kerana tidak puas hati dengan kerajaan PH-BN yang banyak berjanji tetapi tidak ditunaikan, ‘cakap tak serupa bikin’. – HARAKAHDAILY 4/9/2023

- Advertisement -