
MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya telah mengisytiharkan manifesto yang bertemakan ‘Simpang Jeram Sejahtera dan Berpendidikan’.
Menurutnya, manifesto itu bermatlamat untuk membangun komuniti Simpang Jeram yang sejahtera dan berpendidikan dengan meletakkan beberapa isu utama sebagai fokus.
“Di antara tawaran yang ingin kami sampaikan ini termasuk ‘Simpang Jeram Sejahtera dan Berpendidikan’ ini mempunyai visi Simpang Jeram yang mendukung ketenteraman dan kemakmuran masyarakat majmuk di dalamnya.
“Didukung oleh komuniti yang sejahtera dan berilmu dengan meletakkan fokus sepakat; pengamalan fokus keadilan toleransi serta keharmonian di antara agama dan kaum, ketelusan urus tadbir dan ketenteraman awam,” ujarnya pada majlis Ceramah Mega PERIKATAN NASIONAL sempena PRK Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini, malam tadi.
Tambahnya, fokus kedua manifesto ini iaitu ‘prihatin’ dengan pemimpin dan masyarakat Simpang Jeram yang saling bekerjasama, memastikan kesejahteraan semua pihak melalui semangat keperihatinan tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Fokus yang ketiga pula, kata Dr Mazri ialah pemerkasaan modal insan Simpang Jeram ke arah kelangsungan generasi yang berilmu, berdaya saing, inovatif dan utuh nilai rohani dan jati diri.
“Maka dengan itu di atas segala inisiatif inisiatif yang telah kami gariskan, saya berikrar sekiranya terpilih di dalam pilihan raya kecil ini, ikrar kami ialah memperkukuh proses semak dan imbang dalam DUN Negeri Johor sebagai pembangkang yang berwibawa.
“Bukan sebagai mereka yang sentiasa mengkritik, tetapi memberikan pandangan yang positif untuk kebaikan rakyat di Simpang Jeram dan Negeri Johor secara umumnya,” katanya.
Beliau turut berjanji untuk memastikan Pusat Khidmat DUN dapat dibuka dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat selain mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Memperhebat penglibatan kaum wanita, generasi muda, kelompok OKU dan rakyat berbilang kaum dalam setiap inisiatif atau program peringkat DUN Simpang Jeram,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menganjurkan sesi siri dialog awam bersama rakyat secara berkala selain mendukung Undang-undang Tubuh Negeri Johor dan Perlembagaan Malaysia.
“Dengan itu saya menawarkan diri sebagai calon DUN Simpang Jeram dan saya memohon kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk memilih PERIKATAN NASIONAL dalam pilihan raya kecil ini, calon nombor satu,” ujar beliau.
Turut berucap dalam majlis tersebut ialah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahahir Mohamad, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai ialah pada 9 September sementara pengundian awal 5 September. – HARAKAHDAILY 4/9/2023











