90 rakyat Yaman maut dipanah petir

Seramai 150 penduduk Yaman disahkan terbunuh dan cedera akibat dipanah petir di Yaman sejak awal tahun ini. (FOTO: Entesaf)
- Advertisement -

AL-MUKALLA: Sambaran petir telah mengorbankan 45 penduduk di Yaman pada Julai tahun ini, dan jumlah kematian yang sama dicatat akibat yang sama pada bulan Ogos ini.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan  (FAO) Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan jumlah kematian pada Julai, manakala media tempatan melaporkan jumlah kematian berkaitan kilat pada bulan ini.

Dalam amaran agrometeorologi rutin yang dikeluarkan pada Rabu, FAO melaporkan bahawa aktiviti kilat dan ribut petir yang kuat pada bulan lepas telah meragut 45 nyawa dan sejumlah besar ternakan, terutamanya di wilayah tanah tinggi Yaman.

- Advertisement -

“Secara keseluruhan, laporan lapangan menunjukkan bahawa 45 orang dan beberapa kumpulan ternakan disahkan mati di seluruh Yaman. 

“Memandangkan musim hujan kharif berterusan, terdapat kemungkinan besar aktiviti kilat berterusan merentasi sebahagian besar Yaman. Kilat kekal sebagai ancaman aktif kepada pertanian pastoral di sebahagian besar Yaman,” katanya.

Laporan itu bertepatan dengan dakwaan oleh media tempatan dan keterangan daripada individu yang menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 45 warga Yaman telah terbunuh akibat serangan kilat sejak awal Ogos ini.

Dua kanak-kanak maut pada minggu lalu apabila petir menyambar rumah mereka di daerah Bajel di Hodeidah, sebuah wilayah di barat Yaman, lapor Arab News merujuk kepada laporan media tempatan, yang menambah bahawa seorang lelaki muda di rumah yang sama berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Kebanyakan kematian berkaitan kilat direkodkan di wilayah pergunungan seperti Amran, Mahweet, Sanaa dan Hajjah.

Pada  bulan ini, petir dilaporkan telah menyambar rumah Mohammed Hassan Al-Hajj di daerah Hufash di wilayah Al-Mahweet, membunuhnya ketika lelaki itu sedang tidur.

Ramai warga Yaman berkongsi di media sosial imej Qusay Ghawth, seorang pemuda yang disambar petir dan maut di Aflah Al-Sham di daerah Hajjah.

Di daerah Khamir di wilayah tanah tinggi Amran pula, seorang pengembala dan lebih 40 haiwannya terbunuh oleh sambaran petir ketika mereka berhimpit berhampiran tebing

Pada 12 Ogos lepas, agensi berita, SABA melaporkan 13 orang terbunuh manakala 21 cedera akibat dipanah petir di Yaman dalam tempoh 24 jam.

Media tempatan ketika itu melaporkan seramai tujuh orang terkorban dan lapan lagi cedera akibat dipanah petir di beberapa kawasan di wilayah Hajjah. 

Sementara itu, enam wanita dilaporkan maut dan 13 lagi cedera ketika menghadiri majlis pengebumian di wilayah Amran.

Dalam pada itu, Bulan Sabit Merah Yaman menganggarkan terdapat 150 kematian dan kecederaan berkaitan kilat sejak awal tahun ini.

Ia telah menggesa rakyat Yaman untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang mudah dilakukan termasuk mematikan telefon bimbit dan talian tetap, memutuskan sambungan internet, mencabut pengecas dan panel kuasa solar, mengelakkan berlindung di bawah pokok, dan tinggal di dalam rumah ketika ribut petir.

Yaman, secara rasmi dipanggil Republik Yaman ialah sebuah negara Timur Tengah yang terletak di Semenanjung Arab dan Asia Barat Daya.

Negara dengan majoritinya penduduknya beragama Islam ini menyempadani Laut Arab dan Teluk Aden di selatan, Laut Merah di barat, Oman di timur laut, dan sempadannya yang lain bersebelahan dengan Arab Saudi.

Wilayah Yaman termasuk Socotra, sebuah pulau terpencil yang terletak lebih kurang 350 kilometer selatan, berhampiran dengan Afrika Timur, – HARAKAHDAILY 25/8/2023

- Advertisement -