
BAKRI: Malaysia mesti diselamatkan dari pemimpin Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang terserlah rakus, melanggar janji dan berbohong kepada rakyat setelah mendapat kuasa.
Pengarah Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua itu mesti dihentikan dengan menghantar satu mesej sempena PRN P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram.
“Saya minta orang Simpang Jeram ini buat satu eksperimen, apakah PH dan BN ini, apabila mereka hilang satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, adakah mereka akan menjadi gila?
“Eksperimenkan kita buat dalam PRK ini besar ertinya kepada politik Malaysia. Bukan untuk orang Johor sahaja, kita nak beri isyarat supaya Malaysia ni dapat diselamatkan. Daripada tangan-tangan yang rakus, mulut-mulut yang bercakap bohong, pakar-pakar formula yang menipu rakyat.
“Harta benda rakyat Malaysia yang perlu diselamatkan daripada tangan orang-orang ini. Dia punya isyarat akan bermula di Simpang Jeram, insya-Allah. Bangsa Johor insya-Allah. Kita buktikan bangsa Johor boleh mengajar para penipu untuk berhenti,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berucap demikian pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN N.13 Simpang Jeram di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini semalam.
Sanusi yakin kekalahan PH-BN pada PRN P.161 Pulai dan N.13 Simpang Jeram boleh menghantar mesej kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin gabungan itu.
Katanya, ia tidak mustahil kerana PRK ini pasti menerima aura PRN di enam negeri baru-baru ini di mana gelombang PN di Pantai Timur dan Utara telah melanda juga Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Siapa sangka, negeri terkuat DAP di dunia Pulau Pinang, kalah 11 kerusi, tak ada siapa jangka. Pulau Pinang itu dia ada 40 DUN, kita hanya perlu 21 untuk merampas negeri Pulau Pinang.
“Kali ni kita menang 11, sekali lagi (PRU16) kita menang 10 boleh ambil Pulau Pinang. Masa kita ambil Pulau Pinang itu Johor kita dapat dah, pasal Johor pilihan raya dulu. Bukan mustahil.
“Kerajaan negeri Johor ni Umno solid, pasal dia main kotor hari itu dia buat (PRN) Melaka lepas itu dia buat (PRN) Johor. Kalau dia buat sekali hari itu dia pun ghuyup dan gelombang ni akan menimpa negeri Johor,” optimisnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023




















