Korea Utara gagal lagi lancar setelit pengintip

Pelancaran satelit pengintip kali pertama Korea Utara yang menemui kegagalan.
- Advertisement -

SEOUL/TOKYO: Percubaan kali kedua Korea Utara untuk menempatkan satelit pengintip di orbit gagal selepas penggalak roket itu mengalami masalah semasa peringkat ketiga, lapor media kerajaan, ketika pihak berkuasa angkasa lepas negara itu berikrar untuk mencuba lagi pada Oktober ini.

Percubaan kali pertama negara Komunis itu pada Mei lalu juga berakhir dengan kegagalan apabila roket baharu, Chollima-1 terhempas ke dalam laut.

- Advertisement -

Korea Utara yang mempunyai senjata nuklear berusaha untuk menempatkan satelit pengintip tentera pertama ke orbit dengan perancangan meletakkan armada satelit bagi memantau pergerakan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

“Penerbangan peringkat pertama dan kedua roket itu adalah biasa, tetapi pelancaran gagal kerana kesilapan dalam sistem letupan kecemasan semasa penerbangan peringkat ketiga,” kata agensi berita negara itu, KCNA.

Tentera Korea Selatan pula menjejaki penerbangan itu yang dilakukan di Tapak Pelancaran Satelit Sohae Utara dan membuat kesimpulan bahawa perlancaran itu menemui kegagalan.

Pelancaran itu menyebabkan amaran kecemasan di Jepun sejurus sebelum jam 4 pagi waktu tempatan melalui sistem penyiaran J-alert, memberitahu penduduk wilayah paling selatan Okinawa untuk berlindung dalam rumah.

Kira-kira 20 minit selepas amaran itu, kerajaan Jepun melakukan tindakan susulan dengan mengeluarkan notis bahawa peluru berpandu itu telah melepasi ke arah Lautan Pasifik dan menarik balik amaran kecemasan.

Dalam sidang media yang disiarkan di televisyen, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno berkata, pelancaran peluru berpandu berulang kali itu mengancam keselamatan serantau.

“Kami membantah tindakan Korea Utara dan mengutuk sekeras-kerasnya,” katanya.

Matsuno berkata, sebahagian serpihan roket itu jatuh di Laut Kuning, Laut China Timur dan Lautan Pasifik.

Majlis Keselamatan Negara Korea Selatan mengecam pelancaran itu sebagai provokasi dan pencabulan usul Majlis Keselamatan PBB yang melarang penggunaan teknologi peluru berpandu balistik oleh Korea Utara.

Percubaan pelancaran satelit Korea Utara melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata Jabatan Negara AS dan menggesa Korea Utara untuk mengelak daripada “aktiviti mengancam” lagi dan meminta Pyongyang menyertai diplomasi yang serius.

“Kenderaan pelancar angkasa lepas (SLV) menggabungkan teknologi yang sama dan boleh ditukar ganti dengan SLV yang digunakan dalam peluru berpandu balistik, termasuk peluru berpandu balistik antara benua,” kata jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan. – REUTERS

- Advertisement -