
KANGAR: Perlis mengikuti langkah Kedah, Terengganu dan Kelantan mengguna pakai logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama dengan Kerajaan Pusat bagi sambutan peringkat negeri tahun ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan itu diambil atas semangat patriotisme dan federalisme antara negeri dan Kerajaan Pusat.
“Tindakan ini selaras dengan keputusan kerajaan Terengganu, Kelantan dan Kedah yang membuat keputusan serupa, sekali gus tidak timbul lagi sebarang isu menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
“Kita juga memutuskan akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang sama untuk sambutan peringkat negeri tahun ini,” katanya di sini, semalam.
Kerajaan Pusat sebelum ini mengumumkan menggunakan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Sabtu lepas, Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN), Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan supaya kerajaan di bawah PN menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan Kerajaan Pusat kerana terdapat elemen politik.
Logo terbabit iaitu ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera.’ Bagaimanapun Kelantan mengubah suai sedikit logo digunakan Kerajaan Pusat dengan menambah perkataan Membangun Bersama Islam.
Malah pada 2012, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah memberitahu langkah menggunakan tema berbeza sambutan Hari Kebangsaan di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak akan memecahbelahkan mana-mana pihak.
Mohd Shukri juga berkata, persiapan sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri dilakukan sebaiknya dengan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan sebanyak 350 dron.
Menurutnya juga program itu akan diadakan di Kompleks DUN memandangkan Stadium Tuanku Syed Putra masih dalam proses baik pulih.
“Padang berhampiran Hospital Tuanku Fauziah pula tidak sesuai kerana boleh mengganggu pesakit memandangkan kedudukan dekat dengan hospital,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023











