Dilantik Exco, hadiah buat rakyat Kijal – Razali

Foto oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ketua Badan Perhubungan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris akan memanfaatkan pelantikan sebagai Exco kerajaan negeri demi pembangunan sosioekonomi rakyat Kijal dan Terengganu keseluruhannya.

- Advertisement -

“Alhamdulillah TokLi ucapkan di atas pelantikan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Terengganu di samping sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Tok Li dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Sebenarnya, kata beliau tidak terfikir dek akalnya yang asal dari keluarga nelayan di pesisir pantai Ru Rendang sehingga mencapai apa yang ada sekarang.

Menurutnya, seorang anak nelayan yang tampak mustahil, namun merasai nikmat luar biasa itu kerana semuanya adalah ketentuan Allah SWT.

“Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengatur, itulah pegangan dan tawakal TokLi selama ini.

“Insya-Allah limpahan pelantikan TokLi sebagai Exco ini pastinya dimanfaatkan demi pembangunan sosioekonomi rakyat Kijal secara khususnya dan rakyat Terengganu secara keseluruhannya,” katanya.

Tambahnya, tanggungjawab besar beliau yang mendapat mandat rakyat Kijal tidak akan disia-siakan.

Malahan, beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi perangsang dan semangat, tidak kiralah waktu susah senang dan pelbagai cabaran yang kadang kala tidak masuk akal.

Razali turut mengucapkan terima kasih kepada jentera pilihan raya seluruh negeri yang tidak pernah kenal penat lelah dan sumbangan semua adalah sesuatu yang hebat dan luar biasa.

Kini, ujarnya semua kepercayaan dan keyakinan yang dicurahi kepadanya akan dipikul kudrat empat tulang demi manfaat serta limpahan berganda Dun Kijal dan negeri ini.

Katanya, gerak kerja pantas beliau ialah merealisasikan 10 Tawaran Utama PAS dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 untuk rakyat Kijal.

“Jangan segan silu mencari TokLi, insya-Allah TokLi membantu sehabis baik. Itu janjinya,” ujarnya lagi.

Pada PRN Sablu lalu, beliau yang memperoleh 13,403 undi menewaskan penyandang yang juga bekas Menteri Besar daripada BN, Dato’ Seri Ahmad Said dengan majoriti 3,758 undi. – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -