
Lionel Messi menjaringkan gol kesembilannya dalam enam perlawanan ketika Inter Miami menewaskan Philadelphia Union 4-1 untuk mara ke final Piala Liga.
Philadelphia yang mara ke final Piala MLS tahun lalu dan mempunyai rekod dominan di laman sendiri, bersedia untuk menjadi ujian terbesar Miami sejak kelab itu membeli penyerang Argentina itu, bulan lalu.
Namun Miami memulakan permainan pantas dengan Josef Martinez menjaringkan gol hanya selepas tiga minit perlawanan bermula menerusi hantaran Serhiy Kryvtsov.
Messi yang dibiarkan tanpa kawalan melepasi bahagian tengah menyambar hantaran daripada Martinez dan menggelecek ke hadapan sebelum melepaskan rembatan dari jarak jauh pada minit ke-20 yang melepasi penjaga gol Union, Andre Blake.
Jordi Alba melemahkan lagi semangat Union dengan jaringan sejurus sebelum separuh masa untuk mendahului 3-0 ketika penyokong mengejek pasukan tuan rumah ketika mereka menuju ke bilik persalinan.
Philadelphia membalas satu gol menerusi Alejandro Bedoya pada minit ke-73, tetapi David Ruiz menemui jaringan pada minit ke-84 untuk Miami, yang menjaringkan 21 gol dalam enam perlawanan terakhir mereka.
Miami akan menentang sama ada CF Monterrey atau Nashville SC dalam perlawanan akhir Piala Liga Sabtu ini, penampilan pertandingan akhir Miami yang pertama dalam sejarah kelab.
Kemenangan itu juga bermakna Miami akan bermain dalam Liga Juara-Juara CONCACAF pertama mereka tahun depan. – REUTERS











