
KUALA TERENGGANU: Tular dakwaan laman sesawang yang tidak bertanggungjawab mengatakan kononnya PAS Terengganu telah memberikan upah kepada Ervan seorang pempengaruh media sosial, Tiktoker anak muda adalah satu fitnah yang jahat.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali, malah tuduhan jahat itu merupakan satu penghinaan kepada Ervan dan juga anak muda Terengganu.
“Satu penghinaan kepada Ervan dan juga anak muda Terengganu kerana seolah-olah harga diri mereka amat murah untuk dijual beli.
“Saya yakin saudara Ervan membuat video-video sokongan beliau kepada PAS bukan kerana apa-apa habuan yang diterima daripada mana-mana pihak, namun kerana beliau sebagai anak muda tahu menilai yang mana kaca dan yang mana permata,” katanya pada sidang media di Pusat Media PAS Terengganu, Plaza Padang Negara, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri turut mengucapkan terima kasih kepada Ervan dan anak-anak muda Terengganu yang teguh dan terus menyokong PAS. – HARAKAHDAILY 9/8/2023




















