
KUALA TERENGGANU: Datuk Ahmad Amzad Hashim menyifatkan pemilihannya sebagai calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu telah menjawab persoalan dalam kalangan masyarakat.
Ini susulan Mahkamah Pilihan Raya di sini pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan beliau bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Apabila petisyen mahkamah ini, mahkamah memutuskan pembatalan ia mengundang persepsi seolah-olah saya ada melakukan kesalahan.
“Jadi apabila dicalonkan semula dan kemudian masyarakat jadi tertanya-tanya macam mana pula apabila mahkamah buat keputusan macam itu sedangkan ada peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya mereka yang telah bersalah dan melakukan kesalahan-kesalahan pilihan raya tidak boleh lagi bertanding.
“Jadi dalam kes saya ini tiba-tiba saya boleh dicalonkan, jadi ia menjawab persoalan itu dan mula masing-masing yang sebelum ini tidak tahu apa yang sebenarnya kandungan penghakiman itu mula meneliti balik apa yang sebenarnya yang dikatakan dalam penghakiman itu.
“Jadi barulah rakyat tahu bahawa sebenarnya dalam penghakiman itu hakim tidak menamakan siapa yang melakukan kesalahan, jadi kata orang lebih kepada technical fault, itu pula bukan kesalahan saya,” jelasnya kepada Harakahdaily.
Baginya, situasi itu tidak menjadi halangan bahkan sentiasa memandang ke hadapan dalam menghadapi PRK yang berlangusng serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
“Jadi tidak mengapa, kita pandang kehadapan kita sedang berhadapan dengan pilihan raya dan sudah tentulah amanah yang diberikan oleh perjuangan kita (parti) akan saya laksanakan sebaik mungkin,” katanya.
Justeru, ujarnya kali ini menjadi keazaman beliau khususnya jentera untuk membuktikan bukan sahaja kepada rakyat di kawasan Parlimen Kuala Terengganu bahkan kepada semua di seluruh negara bahawa kemenangan yang telah diberikan oleh rakyat pada PRU15 tiada kaitan dengan apa yang didakwa pihak lawan
“Menjadi keazaman kita membuktikan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu bukan ada kaitan dengan apa yang disebut sebagai i-Belia dan i-Siswa, tetapi dengan majoriti yang lebih besar.
“Rakyat di Kuala Terengganu akan menunjukkan bahawa rakyat berdiri teguh dalam mempertahankan kemenangan PAS di Parlimen Kuala Terengganu,” tegasnya.
Mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menyatakan rasa syukur dan berterima kasih di atas amanah yang telah diberikan oleh PAS Pusat dan PERIKATAN NASIONAL untuk bertanding sekali lagi bagi mempertahankan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu.
“Ia sangat bermakna sebenarnya kerana sebagaimana yang kita ketahui kita telah mencatat majoriti yang tinggi, hampir 41,000 undi,” katanya lagi.
Pada PRK Parlimen Kuala Terengganu kali ini, beliau ditentang calon PH, Azan Ismail.
Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 lalu dengan majoriti 40,907 undi selepas memperoleh 63,016 undi manakala calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109 undi), Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH – 10,946) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar (Pejuang – 481).
Pada PRU14, beliau memenangi kerusi parlimen itu dengan majoriti 14,773 undi apabila mendapat 42,988 undi manakala calon BN, Wan Nawawi Wan Ismail dan PKR, Raja Bahrin masing-masing memungut 28,215 dan 15,380 undi. – HARAKAHDAILY 31/7/2023




















