
RANTAU PANJANG: Pengalaman luas dalam bidang korporat membolehkan calon baharu PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Gual Periok menggunakan kepakaran bagi menceriakan semula pekan Rantau Panjang.
Kamaruzaman Mohamad biarpun kurang dikenali di Rantau Panjang, namun dilahirkan di Kampung Bagus, kira-kira 50 tahun lalu.
Beliau berhasrat menyambung usaha bakti bekas ADUN, Dato’ Mohamad Awang dengan menjadikan pekan Rantau Panjang sebagai destinasi pelancongan memandangkan kedudukannya di kawasan sempadan.
“Dalam suasana ekonomi dan nilai Ringgit lebih rendah berbanding Thailand, kita perlu susun semula potensi ekonomi dua hala.
“Peluang baharu memajukan sektor pelancongan tempatan. Pelancong domestik dan antarabangsa sering datang ke Rantau Panjang membeli-belah kemudian mereka menginap di Kota Bharu atau menyeberangi Sungai Golok.
“Kita lihat kelompangan itu sebagai satu peluang baharu dan merancang membina banyak tempat penginapan bajet dan hotel di Rantau Panjang,” katanya di sini.
Selain itu kata beliau potensi ekonomi berasaskan pertanian dan kebun kecil getah setelah projek benteng banjir siap sepenuhnya dijangka membuka peluang lebih besar.
Merantau
Beliau terlibat aktif dalam politik di Wilayah Persekutuan. Pernah merajui Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
Beliau kembali berkhidmat di Kelantan bermula 1 Disember lepas apabila dilantik sebagai Pengarah Urus setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).
Memiliki Sarjana Sains (Pengurusan Sistem Maklumat) di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sekarang sedang menyiapkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan strategik di universiti sama.
Kamaruzaman berkata, tugasnya begitu mencabar bagi meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita berharap pengundi di Gual Periok, bahkan seluruh Kelantan dan di lima negeri lain sama-sama prihatin terhadap kelestarian gagasan besar Membangun Bersama Islam yang terbukti berjaya dilaksanakan di Kelantan,” katanya.
Beliau turut merakam ucapan terima kasih kepada Ustaz Mohamad di atas sokongan padu yang diberi termasuk membantu gerak kerja kempen.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, beliau ditentang Anuar Mohamad dari Barisan Nasional (BN).

UPKN
Sementara itu, momen menarik di Pusat Penamaan Calon, Kompleks Balai Islam Lundang menyaksikan dua mantan kakitangan UPKN merebut kerusi DUN Pasir Tumbuh.
Pertandingan dua penjuru itu melibatkan penyandang mantan Pengarah UPKN, Ustaz Abdul Rahman Yunus, 60, dari PN dicabar mantan Pegawai Penyelidik UPKN, Naziratul Aini Muhd Sayuty, 34, mewakili PH.
Abdul Rahman yang meletak jawatan dan bertanding pada PRU-13 mengekalkan kerusinya dalam PRU14 di DUN tersebut dengan majoriti 7,421 undi.
Di DUN Salor pula, PN menampilkan muka baharu, Saizol Ismail, 43, bertemu calon PH, Mohamad Husain, 40.
Manakala di DUN Demit, mantan Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud, 46, bakal mempertahankan kemenangan Dato’ Mumtaz Md Nawi di kerusi tersebut.
Beliau dicabar dicabar bekas pegawai tadbir negeri Datuk Ismail Ghani, 69 yang mewakili PH. – HARAKAHDAILY 31/7/2023











