
PENDAHULUAN
Ketaatan dan keyakinan yang diberikan oleh penyokong PAS kepada parti dan kepimpinan mereka sering dilabelkan oleh lawan politik mereka sebagai ‘taasub’.
Sementara keyakinan dan ketaatan mereka kepada parti dan kepemimpinan mereka sendiri, tidak pula diberikan label ‘taasub’.
Erti taasub
Apakah erti taasub? Taasub mengikut Kamus Dewan bermaksud, ‘keyakinan yg keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang; fanatik.’
Tidak syak lagi, istilah ‘taasub’ dalam bahasa Melayu memberikan konotasi yang sangat negatif kepada seseorang yang disifatkan dengannya.
Dengan bahasa yang lebih mudah dalam dunia politik, bolehlah kita takrifkan ‘mengikut dan mentaati seseorang pemimpin atau parti politik tertentu berdasarkan keyakinan yang membuta tuli terhadap setiap arahan dan naratif yang dibawanya, sehingga ke peringkat mengabaikan fungsi akal untuk berfikir secara objektif mengenai perkara tersebut.’
Ketaatan kepada parti adalah satu keperluan dalam organisasi
Kesetiaan kepada organisasi adalah satu kemestian kepada ahli-ahli yang bernaung di bawah mana-mana organisasi itu.
Demikian juga kepada halnya dalam parti politik. Apatah lagi ahli-ahlilah yang memilih kepimpinan parti secara demokratik dalam mesyuarat agung secara dwi tahunan atau lebih daripada dua tahun.
Secara asasnya tentulah tidak ada maknanya, jika ahli-ahli parti memilih kepimpinan mereka, kemudian tidak mahu taat kepada keputusan kepimpinanan parti, dan memilih haluan diri mereka sendiri bertentangan dengan keputusan parti.
Tidak ada yang tidak kenanya di sini.
Bilakah ketaatan kepada kepimpinan parti dikira mencapai tahap taasub?
Bila penyokong parti menerima bulat-bulat arahan dan naratif yang dibawa oleh pemimpin utama parti tanpa soal, sedang ia jelas satu pembohongan fakta.
Apatah lagi jika arahan atau naratif itu jelas bercanggah dengan nas qat’ie daripada al-Quran dan Hadis, atau jelas bercanggah dengan Perlembagaan parti, atau bercanggah dengan dasar-dasar utama parti, atau bercanggah dengan apa yang dijanjikan oleh pemimpin itu sendiri.
Jika dalam keadaan seperti itu pun, keyakinan penyokong kepada kepimpinan parti tetap teguh dan tidak goyah walau sedikit pun, itulah yang dikatakan ‘taasub’ kepada pemimpin tersebut.
Apakah yang dibuat oleh penyokong yang tidak taasub
Penyokong yang tidak taasub akan menasihati pemimpin yang seperti itu. Mereka akan gunakan setiap saluran parti untuk menyampaikan ketidakpuasan hati mereka.
Jika tiada perubahan, mereka tidak akan mengekal dan mempertahankan pemimpin yang seperti itu lagi dalam pemilihan parti yang akan datang.
Walaun, madanon, mat’iedun dan malaun
Istilah semasa yang lebih trending untuk menggambarkan sifat taasub penyokong PAS oleh lawan politik mereka dalam dunia politik semasa ialah ‘walaun’.
Sebabnya kerana ketaatan mereka kepada keputusan kepimpinanan parti dalam perkara pentadbiran dan gerak kerja parti yang tidak bercanggah dengan nas al-Quran, Hadis dan Ijmak dinamakan sebagai walak dalam Bahasa Arab.
Oleh kerana ramai juga pentaasub Anwar Ibrahim sebagai pemimpin paling hebat yang pernah dilahirkan di Malaysia, penyokong beliau dipopularkan oleh lawan beliau di media sosial dengan gelaran ‘madanon’. Gabungan ‘madani’ dan ‘Abang Non’.
Walaupun Datuk Seri Ahmad Said daripada Terengganu berharap penyokong Umno Terengganu akan ‘taasub’ kepada kehebatan dirinya sebagai Menteri Besar Terengganu sebelum ini yang sering beliau sendiri gembar gemburkan, namun masih belum ada istilah ‘Mat’iedun’ di media sosial setakat ini. Iaitu gelaran berdasarkan nama manja Ahmad Said di kalangan lawan politik beliau di Terengganu ‘Abam Mat ‘ied’.
Penyokong Umno paling taasub dengan Presiden mereka
Dalam pemerhatian saya, penyokong Umnolah yang paling taksub dengan Presiden mereka.
Semasa Tun Mahathir menuduh Anwar Ibrahim sebagai ‘peliwat’, mereka percaya bulat-bulat. Semasa Tun Abdullah Badawi mengatakan Monsoon Cup akan menjana ekonomi rakyat Negeri Terengganu, mereka percaya bulat-bulat. Semasa Datuk Seri Najib mengatakan syarikat 1MDB adalah syarikat yang diuruskan secara profesional untuk kebaikan rakyat Malaysia, mereka percaya bulat-bulat.
Semasa Datuk Seri Zahid Hamidi bersumpah ‘No Anwar’, ‘No DAP’, mereka percaya bulat-bulat juga. Selepas Zahid memecat dan menggantung keahlian beberapa orang pimpinan utama Umno yang mengkritik beliau atau dakwaan tidak setia kepada parti, mereka masih setia bersama Zahid.
Bahkan bila Zahid bersama dengan Anwar dan DAP sebaik saja PRU-15, mereka masih setia mahu sehidup semati berjuang dengan Presiden kesayangan mereka.
Walaupun tidak ada istilah khas yang diberikan kepada fenomena penyokong Umno yang taasub di media sosial, namun merekalah kelihatan sebagai pentaasub yang tidak ada tandingannya setakat ini.
Penutup
Ada satu lagi istilah yang sedap didengar, tapi masih belum ada sesiapa yang dianugerahkan dengan gelaran itu, iaitu ‘malaun’.
USTAZ ZAKARIA ISMAIL
Marang
31 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 31/7/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











