Keluar mengundi elak Selangor terus ditadbir PH

- Advertisement -

KLANG: Rakyat Selangor, terutama orang Melayu perlu menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi menentukan hala tuju negeri itu pada masa akan datang.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Ustaz Kamal Ashaari berkata, peratusan orang Melayu keluar mengundi merosot pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

- Advertisement -

Katanya, keadaan itu menyebabkan keputusan tidak berpihak kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) yang bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib orang Melayu dan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Oleh itu, saya berharap pengundi Melayu kali ini supaya keluar mengundi bagi menyokong PN supaya nasib rakyat lebih terbela dengan memperkenalkan semula program kebajikan.

“Kita harus ingat pemilih yang tidak keluar mengundi sebenarnya membiarkan Selangor terus ditadbir Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui selepas ceramah Jelajah Pengerusi PN di Bukit Kapar, malam tadi.

Ustaz Kamal berkata, tidak guna rakyat terus mengeluh selepas 12 Ogos nanti sedangkan mereka tidak keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih kerajaan yang peka terhadap kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 31/7/2023

- Advertisement -