
KOTA BHARU: Lautan manusia di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini menghantar isyarat jelas Kerajaan Madani dilihat semakin tergugat dengan kemaraan gelombang berterusan rakyat.
Selepas kira-kira lima tahun lokasi sama limpah dengan lautan rakyat Kelantan, hari ini berulang lagi situasi serupa.
Inilah kebimbangan kerajaan PH-BN yang tidak mampu disembunyikan lagi ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Tuan Guru Awang Yusof dari Pondok Gelang Mas Pasir Mas pada doa ketika solat memohon kepada Allah Taala bagi mengekalkan kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRN 12 Ogos ini.
“Kita memohon supaya berlaku perubahan kerajaan yang mentadbir Putrajaya selepas ini,” katanya pada doa yang diaminkan puluhan ribu rakyat Kelantan.
Sebelum ini ulama terkenal menegaskan orang Islam yang tidak mahu keluar mengundi bagi membolehkan Islam ditegakkan dalam pentadbiran negara ini boleh disifatkan sebagai haram.
Ulama yang lama menuntut ilmu di Makkah Syeikh Wazir Che Awang berkata, Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah pada awal kebangkitan Islam bagi membolehkan negara Islam ditegakkan.
Sedangkan katanya Makkah adalah tempat kelahiran baginda, namun tetap juga berhijrah bagi membolehkan negara Islam dilaksanakan.
“Sebab itulah dalam konteks sekarang kita perlu keluar mengundi,” katanya pada slot Bicara Ummah selepas solat Maghrib. Turut bertindak sebagai panel anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail. – HARAKAHDAILY 21/7/2023




















