Usaha sekat Sanusi dari kembali jadi MB Kedah

Esok lusa akan lahir puluhan lagi 'Sanusi'!

- Advertisement -

TUJUANNYA hanya satu, menghalang Dato’ Seri Sanusi daripada kembali menjadi Menteri Besar Kedah selepas PRN nanti.

Langkah itu dimulakan dengan melonggokkan segala macam persepsi buruk kepada Dato’ Seri Sanusi.

Bermula dengan usaha meminggirkan beliau daripada mengikuti mesyuarat rasmi kerajaan. Cubaan menghalang beliau hadir acara rasmi kerajaan.

Menyusahkan urusan negeri-Persekutuan. Menolak permohonan beliau untuk bertemu dengan Perdana Menteri ke-10 (PMX). Menyekat dan menyusahkan projek Kedah Aerotropolis.

Menuduh kononnya beliau cuba nak padam Pulau Pinang di dalam Perlembagaan Persekutuan dalam isu sejarah Kedah-Pulau Pinang.

Menuduh kononnya Kerajaan Negeri Kedah salah guna peruntukan jalan MARRIS. Menuduh kononnya beliau telah dikompaun kerana mencuri REE di Sik;

Mengganggu kehidupan peribadi abang kandung beliau melalui fitnah banglo. Menyekat media sosial beliau. Menggerakkan puluhan laporan polis terhadap beliau.

Mengarahkan tangkapan ke atas beliau pada jam 3 pagi di hotel tempat beliau menginap bersama puluhan anggota polis seolah-olah Dato’ Seri Sanusi adalah seorang penjenayah besar yang merbahaya.

Dan yang terkini, mendakwa beliau di mahkamah.

Pendakwaan ke atas beliau adalah yang paling pantas dan cepat berbanding laporan-laporan polis lain yang telah dibuat ke atas pemimpin PH-BN sebelum ini, melibatkan isu 3R.

Berkemungkinan juga perbicaraan kes ini berlangsung dengan begitu pantas, barangkali sebelum penamaan calon utk PRN kali ini.

Segala hujah dan bukti akan ditimbulkan untuk mensabitkan kesalahan. Ada kemungkinan dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya, mengikut peruntukan undang-undang.

Yang penting bagi mereka, sabitan hukuman nanti akan menjadikan Dato’ Seri Sanusi tidak layak untuk bertanding di dalam PRN kelak.

Apabila tidak layak bertanding, maka dengan sendirinya tidak dapat dilantik menjadi Menteri Besar.

Bila Dato’ Seri Sanusi tidak lagi menjadi Menteri Besar, maka hilanglah watak utama yang menghalang segala perancangan jahat mereka.

Ya, inilah misi utama mereka.

Mereka tahu, mereka tidak dapat menyekat gelombang kebangkitan rakyat. Mereka tahu, mereka sukar untuk dapat undi Melayu dalam PRN kelak.

Mereka tahu, mereka sukar nak menandingi kehebatan Dato’ Seri Sanusi dalam mentadbir negeri. Mereka risau, pengikut mereka semakin berkurang, penyokong PN semakin meningkat.

Mereka risau, nyawa politik mereka akan mati jika tewas tersungkur dalam PRN 6 negeri kali ini.

Maka, satu-satunya cara yang mereka ada ialah menggunakan kuasa yang dipinjamkan sementara untuk membunuh nyawa politik manusia bernama Dato’ Seri Sanusi.

Silakan.

Buatlah apa yang kamu mahu sesuka hati kamu. Inikan kerajaan kamu. Ikut suka kamulah.

Tapi ingat, kuasa yang kamu ada hanyalah pinjaman dariNya. Allah akan ambil kembali kuasa ini apabila sampai waktunya nanti.

Kami berjuang bukan kerana Sanusi. Kami berjuang kerana aqidah perjuangan yang suci. Hari ini kamu sekat seorang Sanusi.

Esok lusa akan lahir puluhan lagi ‘Sanusi’!

YB TUAN AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Ahli Parlimen Alor Setar – HARAKAHDAILY 18/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -