
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah dihadap di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini sebentar tadi.
Dalam pertuduhan pertama yang dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim, Nor Rajiah Mat Zin, beliau didakwa telah menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Manakala bagi pertuduhan kedua di kamar berasingan di hadapan Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh, beliau dituduh menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, Sanusi dibenarkan dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap satu pertuduhan tersebut dan kedua-dua Hakim juga menetapkan sebutan kes bagi dua pertuduhan tersebut dilangsungkan pada 4 Oktober depan.
Terdahulu beliau tiba di mahkamah tersebut dengan diiringi ramai pegawai dan anggota polis sekitar jam 9 pagi tadi setelah ditahan di hotel penginapannya jam 3 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Turut hadir sama di mahkamah tadi adalah Ahli Parlimen Jerlun, Dr Ustaz Abdul Ghani Ahmad dan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman serta barisan peguam PAS diketuai Wan Rohimi Wan Daud. – HARAKAHDAILY 18/7/2023











