
BACHOK: Kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang menempelak belia yang berhijrah mencari pekerjaan di luar Kelantan dianggap ketinggalan kereta api.
Rata-rata belia yang ditemui menganggap Dato’ Dr Mohammad Agus Yusoff tiada maklumat kerana jarang balik ke Kelantan.
Mohd Ikhwan Ismail, 27, berkata, peluang pekerjaan banyak terdapat di Kelantan terutamanya sektor pertanian dan penternakan sehingga kerajaan negeri menjadikan Kelantan sebagai ‘Jelapang Makanan Negara’.
Katanya, ramai belia termasuk lepasan institusi pengajian tinggi menceburi bidang tersebut sehingga mampu menjana pendapatan lima angka sebulan.
“Ada belia terlibat pertanian dan penternakan mampu menyediakan pekerjaan kepada penduduk tempatan. Itu tidak termasuk lagi ramai yang terbabit dengan perniagaan.
“Kenyataan Dr Agus tidak mengambarkan perkembangan yang berlaku di Kelantan. Contohnya di Lembah Sireh lebih 2,000 belia dan beliawanis mendapat peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui.
Melalui video yang disebarkan Dr Agus meminta golongan belia membuat perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
Menurutnya sebahagian besar rakyat khususnya belia Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor untuk membina kehidupan masing-masing.

Seorang lagi belia Abu Ubaidah Fauzi, 30, berkata, penghijrahan penduduk bagi mencari peluang pekerjaan bukan perkara baharu, malah ia berlaku di seluruh dunia.
Katanya, isu mencari rezeki tidak perlu dipertikaikan kerana di mana-mana sahaja ada rezeki selagi setiap manusia gigih berusaha.
“Budaya rakyat Kelantan hijrah berlaku sejak dahulu lagi. Kita boleh temui ramai rakyat Kelantan di Felda di Pahang, Negeri Sembilan dan seluruh negara.
“Ia bukan lagi isu. Kalau sekadar isu tersebut diketengah Dr Agus, ia seumpama meludah ke langit kerana beliau juga berhijrah,” katanya.
Muhammad Sahdan Razali, 33, (foto atas) pula meminta J-KOM membantu kerajaan PH-BN menangani isu kos sara hidup rakyat yang membebankan sekarang dan menghentikan retorik politik. – HARAKAHDAILY 17/7/2023




















