
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan Malaysia yang terbentuk pada hari ini bersama kuasa diperuntukkan kepadanya adalah berasal dari gabungan negeri-negeri atas persetujuan Raja-raja Melayu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sehubungan itu mengingatkan Perdana Menteri dan Menteri-menteri agar tidak sombong dengan kuasa jawatan dipegang oleh mereka.
Jelasnya, Kerajaan Persekutuan tidak wujud pada asalnya di mana idea berkerajaan bermula dengan Malayan Union tetapi ditentang oleh orang Melayu dan Raja-raja hingga ianya dibatalkan.
Katanya, dari situlah tertubuhnya parti-parti politik ke arah dan hasrat untuk menguruskan negara sendiri sebagaimana juga wilayah-wilayah di rantau ini mewujudkan pemerintahan negara mereka.
Beliau memetik sejarah kemerdekaan tahun 1957 dan perjanjian ditandatangani Raja-raja Melayu serta pembentukan Malaysia tahun 1963 hingga adanya peruntukan kuasa dan jawatan yang berkenaan.
“Itu asal usul dia. Hangpa pegang itu (Kerajaan Persekutuan), hangpa jadi Perdana Menteri, jadi Menteri, sejarahnya kuasa itu datang dari negeri-negeri. Bila hangpa dah pegang kuasa itu, negeri nak minta apa, hangpa buat sombong.
“Hangpa buat berlagak buat boleh noh? Hang tak sedar diri sungguh. (Kerana semua itu) Maka adalah (jawatan) Perdana Menteri, ada Menteri-menteri,” peringat beliau.
Sanusi turut membidas ugutan yang dibuat Menteri terhadap rakyat kerana merasa terlalu berkuasa, juga Menteri menyentuh isu politik dengan maklumat salah atau di luar bidang tugasnya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan mereka supaya berlaku adil dan berpegang kepada sumpah jawatan dipegang serta mentadbir negara sebagaimana yang dipertanggungjawabkan. – HARAKAHDAILY 12/7/2023




















